Kerajaan Terengganu 'gempur' penjaja jalanan di lampu isyarat

Penjaja jalanan di persimpangan lampu isyarat masih aktif menjalankan aktiviti perniagaan walaupun tempoh dibenarkan untuk menghabiskan stok barangan jualan berkahir November lalu.
Penjaja jalanan di persimpangan lampu isyarat masih aktif menjalankan aktiviti perniagaan walaupun tempoh dibenarkan untuk menghabiskan stok barangan jualan berkahir November lalu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu melaksanakan operasi bersepadu kali pertama bagi 'menggempur' penjaja jalanan di persimpangan lampu isyarat di seluruh negeri bermula hari ini sehingga 31 Disember.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Terengganu, Wan Hapandi Wan Nik berkata, keputusan itu dibuat disebabkan tempoh akhir dibenarkan untuk aktiviti perniagaan itu telah berakhir November lalu.

Menurutnya, ia adalah peringatan terakhir kepada penjaja-penjaja yang terus berkeras melanggar peraturan selepas tarikh akhir diberikan ketika rundingan telah tamat sebelum ini.

“Kita telah memutuskan untuk melaksanakan operasi bagi fasa pertama bermula hari ini hingga 31 Disember bagi memastikan keselamatan penjaja dan keselesaan pengguna jalan raya.

“Operasi itu akan melibatkan pelbagai agensi kerajaan iaitu pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Jabatan Tenaga Kerja (JTK),” katanya ketika sidang media Operasi Bersepadu Penjaja di Wisma Darul Iman hari ini.

Wan Hapandi Wan Nik
Wan Hapandi Wan Nik

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Ahmad Farhan Abdul Wahab; Ketua Bahagian Penguatkuasa Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan Ketua Pegawari Penguatkuasa Negeri KPDNHEP, Nor Azmi Lamisza.

Wan Hapandi berkata, penguatkuasaan akan dibuat berdasarkan peraturan-peraturan antaranya Peraturan Lalulintas 1959 di bawah Akta Pengangkutan Jalan, Undang-Undang Kecil Penjaja di bawah Undang-Undang Kecil Pihak Berkuasa Tempatan, Akta Kawalan Harga & Anti Percatutan 2011 serta Perintah Perlabelan Barang Sedia Bungkus 1993.

Artikel Berkaitan:

Katanya, mereka yang dikesan melakukan kesalahan itu bakal berdepan kompaun sekurang-kurangnya RM200 dan rampasan barang atau denda sehingga RM100,000 dan penjara sekiranya didakwa di mahkamah.

Sehubungan itu beliau meminta kesemua penjaja jalanan untuk mematuhi arahan yang ditetapkan.

"Kita harap mereka yang terlibat salat mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Ia bukan sahaja atas faktor lalu lintas bahkan atas faktor keselamatan diri penjaja itu sendiri," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Ahmad Farhan berkata, pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi membantu penjaja jalanan.

"YPU sebelum ini telah menawarkan inisiatif-inisiatif berbentuk tawaran pinjaman kepada penjaja untuk membolehkan mereka terus berniaga dengan cara lebih baik.

“Kita juga sentiasa membuka ruang kepada penjaja dan berharapkan mereka memanfaatkan inisiatif yang disediakan kerajaan sebagai ganti terhadap perniagaan mereka," katanya.