Dana bra mastektomi, prostesis beri sinar pesakit kanser payudara

Sarlinawati menunjukkan bra prostesis yang mempunyai tali lebih lebar dan berpoket. - Foto Bernama
Sarlinawati menunjukkan bra prostesis yang mempunyai tali lebih lebar dan berpoket. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kehilangan payudara akibat kanser bukan satu perkara yang mudah bagi wanita kerana terpaksa hidup dalam ‘ketidaksempurnaan’ lantas menyebabkan ramai daripada mereka tidak yakin apabila bersosial dalam masyarakat.

Namun, inisiatif Cancer Survivor Malaysia (CSM) dalam mengumpul dana RM50,000 bagi melaksanakan Projek Bra Prostesis dan Mastektomi menerusi 'Kembara Solo Cancer Fighter' sejak awal bulan ini, memberi sinar kepada mereka yang terjejas.

Ia kerana melalui kembara tersebut, kira-kira 100 pesakit kanser payudara yang kurang berkemampuan akan dapat memiliki bra mastektomi dan prostesis (payudara palsu), iaitu sejenis alat silikon berbentuk payudara yang dikhususkan untuk mereka.

Inisiatif tersebut adalah projek kedua CSM selepas kejayaan membantu 170 pesakit kanser payudara kurang berkemampuan mendapatkan dana untuk program seumpama itu melalui pelbagai aktiviti kebajikan yang dilaksanakan pada 2022.

Pengasas dan Pengerusi CSM, Zuraini Kamal berkata, tidak ramai yang tahu selepas seseorang menjalani mastektomi (pembedahan membuang payudara akibat kanser), pesakit akan kehilangan berat antara 300 hingga 500 gram, menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan pada badan mereka.

Selain itu, beliau berkata, kehilangan payudara juga akan membuatkan postur badan pesakit bongkok mengakibatkan mereka sakit tulang belakang.

"Justeru, pada peringkat ini, kebanyakan wanita yang terjejas diberi pilihan untuk menggunakan bra mastektomi dengan prostesis atau menjalani pembentukan semula payudara untuk mengembalikan bentuk asalnya,” katanya.

Zuraini berkata, pemakaian bra khas mastektomi dan prostesis itu sudah pastinya jauh lebih baik berbanding hanya menggunakan coli biasa dengan meletakkan gumpalan kain atau tuala bagi menggantikan prostesis, sepertimana yang sering dilakukan ramai pesakit selepas proses mastektomi.

"Bra ini mempunyai tali lebih lebar dan berpoket supaya prostesis boleh dimasukkan ke dalamnya tanpa bergerak bagi menampung berat payudara palsu dengan selesa...tetapi kita sedar harganya tinggi iaitu antara RM1,000 hingga RM3,000 bergantung kepada bahan dan jenama.

Artikel Berkaitan:

"Sebab itu, kami memulakan kembara ini bagi mengumpul dana dan berharap ia dapat memberi kesedaran kerana ini adalah keperluan utama pesakit bagi memulihkan harga diri dan meningkatkan tahap keyakinan, kewanitaan dan seksualiti mereka," katanya.

Kembara Solo Cancer Fighter itu dilaksanakan Sarlinawati Abdul Mues, 47, yang juga merupakan pejuang kanser payudara tahap empat, dengan mengelilingi Semenanjung menggunakan motosikal jenis skuter WM ES250i, bermula dari Institut Kanser Negara, Putrajaya, selama 24 hari, bermula 2 Oktober lepas.

"Bila saya memilih untuk melakukannya, saya akan membuatnya sebaik mungkin. Ini adalah cara saya menyampaikan mesej kesedaran agar pesakit tidak berputus asa melawan kanser. Kita perlu kuat dan hadapinya sebagai satu ujian daripada ALLAH SWT.

"Saya berharap dengan perjalanan kembara ini, saya dapat membantu lebih ramai pesakit yang memerlukan bra mastektomi dan prostesis ini sebagai usaha meningkatkan kembali keyakinan mereka yang mungkin pernah luntur," katanya.

Bagi penerima dana Projek Bra Prostesis dan Mastektomi 2022, Nur Hayati Sahak, 44, pula, mengakui pemakaian bra khas itu membantunya mengekalkan berat badan yang tepat dan membentuk keseimbangan dada dan tulang belakang.

"Selepas pembedahan mastektomi, badan saya mengalami kesakitan di tulang belikat akibat daripada ketidakseimbangan payudara.

"Badan jadi senget sebelah, namun selepas memakai bra mastektomi, sakit di tulang belikat banyak berkurangan," katanya yang disahkan menghidap kanser payudara tahap empat pada September 2019. - Bernama