Penghantar makanan maut bertembung lori

Seorang penghantar makanan maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar sebuah lori di persimpangan lampu isyarat di Kampung Lombong menuju Persiaran Anggerik Mokara pada Isnin.
Seorang penghantar makanan maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar sebuah lori di persimpangan lampu isyarat di Kampung Lombong menuju Persiaran Anggerik Mokara pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang penghantar makanan maut dalam nahas melibatkan tiga kenderaan dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat di Kampung Lombong menuju Persiaran Anggerik Mokara di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam menerima laporan berkaitan kejadian kira-kira jam 10.42 pagi.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, lori jenis Nissan UD dari arah Kampung Lombong itu telah bertembung dengan mangsa yang menunggang motosikal jenama Yamaha Y15ZR dan sebuah basikal.

"Mangsa dan penunggang basikal terlibat dipercayai datang dari arah Rimbayu sebelum dirempuh lori terbabit.

"Akibat pelanggaran mangsa terperosok di bawah lori berkenaan manakala penunggang basikal tercampak ke bahu jalan," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Mohd Iqbal berkata, mangsa yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala penunggang basikal hanya cedera ringan.

"Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Shah Alam untuk proses bedah siasat.

"Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca dan sebab kematian dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, orang ramai atau saksi kejadian diminta segera menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan.

"Saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Muhammad Hasrul Suhiami di talian 011-31215697," katanya.