Menara telekomunikasi diceroboh, 600 penduduk hadapi gangguan liputan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

ALOR SETAR - Hampir 600 penduduk Kampung Sungkup, Sungai Petani menghadapi gangguan liputan telekomunikasi selepas menara telekomunikasi yang disediakan di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) berhampiran kampung itu diceroboh.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan, kejadian itu dilaporkan penduduk kampung kepada Pejabat MCMC Kedah pada Ahad lepas, selepas terdapat kesan vandalisme termasuk kabel dipotong dan peralatan dicuri di menara tersebut.

"Pejabat MCMC Kedah pada hari sama telah bergegas ke lokasi kejadian untuk membuat tinjauan bersama pihak penyedia perkhidmatan yang dilantik menguruskan menara berkenaan. Laporan polis turut dibuat oleh pihak penyedia perkhidmatan.

"MCMC ketika ini sedang mempertimbangkan beberapa langkah untuk memulihkan liputan telekomunikasi di sekitar kampung berkenaan. Menara tersebut menyediakan perkhidmatan telekomunikasi bagi Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile melalui kaedah perkongsian 4G MOCN (Rangkaian Teras Operator Berbilang),” menurut suruhanjaya itu.

Suruhanjaya tersebut turut memaklumkan perbuatan khianat yang dilakukan itu menyebabkan perkhidmatan kesemua rangkaian berkenaan tidak dapat beroperasi.

MCMC turut memohon orang awam untuk segera melaporkan kepada pihak polis sekiranya mempunyai sebarang maklumat atau melihat sebarang aktiviti mencurigakan berhampiran tapak infrastruktur telekomunikasi.

"Perbuatan merosakkan kemudahan telekomunikasi boleh didakwa dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda RM300,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya di bawah Seksyen 235, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” menurutnya.

MCMC pada masa sama akan meningkatkan kerjasama dengan penduduk, polis dan pihak berkuasa tempatan untuk mencegah sebarang cubaan menceroboh menara telekomunikasi. - Bernama

Artikel Berkaitan: