Skuasy acara Olimpik berita baik untuk Malaysia - Hannah

Hannah Yeoh. Foto: Bernama
Hannah Yeoh. Foto: Bernama
A
A
A

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyifatkan penyenaraian skuasy pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) sebagai berita baik untuk Malaysia yang masih memburu emas pertama di temasya sukan terbesar dunia itu.

Beliau berkata, perkembangan itu menggembirakan kerana Malaysia berada di landasan tepat untuk meraih pencapaian positif di Los Angeles selepas acara skuasy menyumbangkan tiga emas pada Sukan Asia Hangzhou 2022 baru-baru ini.

Katanya, Jawatankuasa Road To Gold (RTG) akan memberi perhatian terhadap perkembangan itu dalam memastikan semua atlet yang berpotensi membutirkan emas di Sukan Olimpik Paris 2024 dan LA28 mendapat bantuan sewajarnya.

"Ini kerana Perdana Menteri telah umumkan satu bajet yang bagus (dalam Belanjawan 2024) iaitu RM20 juta untuk RTG dan (kita) tunggu Jawatankuasa RTG yang akan bermesyuarat hujung bulan ini dan kami akan buat pengumuman tentang perkara ini.

"Malaysia menyambut baik berita untuk tambah bukan saja skuasy tetapi kriket juga termasuk dalam senarai itu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelepasan Kontinjen Malaysia ke Sukan Para Asia Hangzhou 2022 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, malam Isnin.

Baru-baru ini, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mengumumkan penambahan lima sukan iaitu skuasy, kriket, flag football, lacrosse dan besbol-sofbol pada LA28.

Pada Sukan Asia Hangzhou, tiga daripada enam pingat emas Malaysia disumbangkan kem skuasy menerusi Ng Eain Yow dalam acara perseorangan lelaki, S. Sivasangari (perseorangan wanita) dan berpasukan wanita.

Namun hanya acara perseorangan lelaki dan wanita dipertandingkan di LA28.

Penyenaraian skuasy bukan sahaja menggembirakan banyak pihak termasuk Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), malah menarik perhatian legenda skuasy negara Datuk Nicol David.

Artikel Berkaitan:

Menerusi ciapannya di laman sosial X, bekas pemain nombor satu dunia dan juara dunia lapan kali itu berkata: "Amazing amazing! Rightfully deserved after so many years of hard work! Congratulations to our beloved squash and the future champions (Hebat hebat! Sememangnya layak selepas bertahun-tahun kerja keras! Tahniah kepada skuasy kesayangan kita dan juara masa depan).” - Bernama