[VIDEO] 'Rumah tiada beras, sudah tiga hari tidak menanak nasi'


"Ada juga yang telah seminggu rumahnya tiada beras. Kalau mampu beli pun beras siap bungkus sikit-sikit dari kedai runcit seberat 1 kilogram (kg) untuk sekali masak.

Artikel:
https://www.sinarharian.com.my/article/629749/edisi/terengganu/rumah-tiada-beras-sudah-tiga-hari-tidak-menanak-nasi

Muzik: Elevate dari www.bensound.com

#BeritaMojo #SinarHarian #BeritaSemasa" />
A
A
A

KUALA NERUS - Seorang peniaga yang menyediakan beras dan keperluan dapur percuma mendedahkan terdapat penerima sumbangan mengadu sudah tiga hari tidak menanak nasi kerana tidak mampu membeli beras.

Haslinda Wahab, 40, berkata, dia tidak menyangka terdapat keluarga yang kini berdepan situasi itu ketika mendapatkan barangan di bangsal kecil dinamakan 'pondok sedekah' bersebelahan premis perniagaannya di Pengkalan Maras, di sini.

"Saya tak sangka ramai yang datang ke sini sebab rumah tiada beras. Ada yang minta izin ambil beras sebab sudah tiga hari terputus bekalan makanan itu.

"Ada juga yang telah seminggu rumahnya tiada beras. Kalau mampu beli pun beras siap bungkus sikit-sikit dari kedai runcit seberat 1 kilogram (kg) untuk sekali masak.

"Kebanyakan mereka yang berdepan situasi ini mempunyai ahli keluarga yang ramai mungkin lebih dari lima orang anak," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini petang Isnin.

Ibu kepada empat anak itu berkata, pondok agihan keperluan asas makanan yang dibuka sejak seminggu lalu menyediakan beras (5 kilogram), minuman coklat, kicap, minyak, biskut, mi segera dan susu tepung.

"Susu bayi yang saya sediakan di sini dari jenama Dutch Lady yang biasa digunakan oleh ibu-ibu. Ramai juga yang datang untuk dapatkan susu anak.

Artikel Berkaitan:

Haslinda menunjukkan antara barangan keperluan dapur yang disediakan di pondok sedekah bersebelahan premis perniagaannya di Kampung Pengkalan Maras di Kuala Nerus.
Haslinda menunjukkan antara barangan keperluan dapur yang disediakan di pondok sedekah bersebelahan premis perniagaannya di Kampung Pengkalan Maras di Kuala Nerus.

"Tetapi, paling ramai datang nak dapatkan beras. Ramai mengadu sangat terkesan dengan kenaikan harga beras. Bayangkan yang 5kg dari belasan ringgit naik sehingga RM20 ke atas. Yang kampit 10kg pula harganya kini lebih RM40 mencecah RM50.

"Kalau keluarga anak ramai sekampit beras tu tahan dalam dua tiga hari sahaja. Biasanya mereka yang datang ambil barangan ini kita akan tanya dulu untuk pastikan penerima adalah mereka yang benar-benar memerlukan," katanya.

Haslinda memberitahu, terdapat juga insan pemurah yang ingin turut sama menyumbang dengan menyalurkan wang ringgit bagi membeli barangan yang akan diagihkan di pondok itu.

"Saya sebenarnya sudah lama agih bantuan kepada golongan susah ini, di mana sebelum ini ia diberikan ke rumah dan melibatkan individu yang sama. Kali ini, bila saya buat kelainan macam ini ada individu berlainan yang tampil yang kita pun tak tahu dia sebenarnya hidup susah.

"Setakat ini paling jauh yang datang dari sekitar Kuala Terengganu dan ada juga yang minta bantuan dari Kemaman," katanya yang aktif dalam misi bantuan sejak 2019.

Haslinda (kanan) bersama individu memerlukan (dua dari kanan) yang datang untuk mendapatkan beras yang disediakan di pondok sedekah.
Haslinda (kanan) bersama individu memerlukan (dua dari kanan) yang datang untuk mendapatkan beras yang disediakan di pondok sedekah.

Haslinda sebelum ini merupakan penerima bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas menjadi ibu tunggal.

"Selama 13 tahun saya bergelar ibu tunggal, jadi saya faham situasi dialami mereka yang hidup susah sampaikan beras pun tak mampu nak beli. Selepas buat pinjaman dari Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) untuk memulakan perniagaan. Saya bersyukur, ia amat membantu sehingga sekarang.

"Saya juga bersyukur sebab saya kini mampu membantu untuk meringankan bebanan mereka yang susah. Saya nekad untuk tidak berhenti dan doakan saya dapat teruskan sumbangan ini," ujarnya yang kini telah tiga tahun mendirikan rumah tangga bersama Muhammad Asyraf Ahmad Subri, 30.