MOM sambut baik lima sukan baharu di LA28

Norza
Norza
A
A
A

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) memuji keputusan Lembaga Eksekutif Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) untuk menyokong penambahan lima sukan baharu dipertandingkan di temasya Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, berkata, MOM mempunyai banyak sebab untuk berasa gembira dengan penambahan lima sukan tersebut terutamanya skuasy kerana sukan tersebut telah menjadi penyumbang pingat yang konsisten kepada kontinjen Malaysia DI pelbagai temasya sukan.

“Kami akan bersandarkan sokongan yang diberikan oleh penyertaan di Olimpik untuk memacu pertumbuhan skuasy. Cabaran ini adalah untuk menjadikan skuasy sebagai acara tetap dalam Sukan Olimpik pada masa depan,” katanya, dalam kenyataan, hari ini.

Selain skuasy, kriket, flag football, lacrosse dan besbol-sofbol dicadangkan oleh penganjur LA 2028 untuk disenaraikan di temasya itu dan kesemuanya mendapat kelulusan daripada IOC.

Sementara itu, Norza berkata, Persekutuan Besbol Malaysia (BFM), Persatuan Kriket Malaysia (MCA), Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) dan Persatuan Sofbal Malaysia (SAM) telah aktif mempromosikan kemajuan sukan masing-masing di negara ini dan telah menjadi ahli gabungan MOM selama beberapa dekad.

Sementara itu, SRAM menyifatkan penyenaraian acara tersebut di LA28 merupakan langkah penting dalam mengangkat sukan berkenaan ke tahap yang lebih tinggi.

Pengarah Kejurulatihan SRAM, Mejar (B) S Maniam berkata, badan induk itu juga akan merangka program jangka panjang sebagai persediaan menghadapi LA28.

Maniam juga turut berharap barisan pemain skuasy negara turut diserapkan ke program Road To Gold (RTG) bagi membantu persediaan menghadapi temasya sukan tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Perkara sama juga akan dilakukan untuk Sukan Olimpik dalam menyediakan barisan pemain agar tidak hanya mengambil bahagian tetapi juga mencapai kejayaan di podium.

“Kita perlu bersedia dengan teliti dan efektif supaya Persekutuan Skuasy Dunia (WSF) dapat menganjurkan acara yang berjaya di Sukan Olimpik, sekali gus menarik perhatian negara-negara lain terus berminat menyenaraikan skuasy di edisi Sukan Olimpik seterusnya, misalnya di Australia,” katanya.

Menurutnya, SRAM juga sudah mempunyai rancangan jangka panjang untuk temasya Sukan Komanwel dan Sukan Asia.