Keputusan rayuan kes rasuah Isa Samad ditetapkan kemudian

Mohd Isa
Mohd Isa
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini pada Isnin akan menetapkan tarikh lain terhadap keputusan rayuan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berhubung sabitan hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta bagi kes rasuah berkaitan pembelian sebuah hotel di Sarawak yang dihadapinya.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera memutuskan perkara itu selepas peguam bagi pihak Mohd Isa dan pendakwaan selaku responden selesai memberi hujahan.

Turut bersidang ialah Hakim, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk SM Komathy Suppiah.

Semasa prosiding, peguam, Datuk Salehuddin Saidin yang mewakili Mohd Isa berkata, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah terkhilaf ketika mensabitkan anak guamnya dengan kesalahan itu.

Menurutnya, keterangan saksi pendakwaan ke-21, (ketika kejadian) pegawai khas politik Mohd Isa, Muhammad Zahid Md Arip berhubung penyerahan wang, tidak menyokong elemen pertuduhan suapan terbabit.

"Kononnya perayu 'mengirim salam' yang didakwa sebagai isyarat memohon suapan atau wang pendahuluan, ialah tidak munasabah.

"Sedangkan anak guam saya secara konsisten menyatakan, tidak pernah menyampaikan salam tersebut, kepada ahli lembaga Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, Ikhwan Zaidel kerana tidak mengenali individu itu secara peribadi," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz menghujahkan, keterangan bahawa Mohd Isa terlibat dalam mesyuarat lembaga pengarah, dengan wang RM3 juta itu, ialah upah meluluskan pembelian hotel terbabit.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, wang itu diserahkan oleh Muhammad Zahid kepada tertuduh tanpa dilihat mana-mana saksi.

Pada 3 Februari 2021, Mahkamah Tinggi mensabitkan Mohd Isa, 73, atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak oleh Felda.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No 11, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Hakim, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menjatuhi tertuduh hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan menjadikan keseluruhan 54 tahun serta denda RM15.45 juta atau dipenjara 18 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.

Bagaimanapun, Mohd Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara enam tahun apabila mahkamah memerintahkan supaya kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak.

Mahkamah menaikkan jumlah jaminan daripada RM800,000 kepada RM1.5 juta dan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap 1 hari bulan hingga rayuan selesai.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu memfailkan notis rayuan terhadap sabitan salah serta hukuman penjara dan denda yang dikenakan terhadapnya pada 4 Februari 2021.