Sophia Albarakbah terus melangkah

Cinta yang mendalam terhadap dunia seni membuatkan Sophia rela mengharungi sepak terajangnya.
Cinta yang mendalam terhadap dunia seni membuatkan Sophia rela mengharungi sepak terajangnya.
A
A
A

PENULIS masih ingat tatkala bertemu dengan wanita cantik berdarah kacukan Melayu, Cina dan Arab ini tahun lalu.

Ketika itu, nama Sophia Albarakbah dikenali kerana lakonan dan kecantikan yang dimiliki.

Namun, tiga bulan kemudian, pelakon berusia 30 tahun itu terpalit dengan kontroversi apabila didakwa mempunyai hubungan dengan suami orang yang juga hero gandingannya dalam sebuah drama.

Perkhabaran tersebut secara tidak langsung mencemarkan imej wanita polos yang dibawa Sophia sejak menyertai industri seni pada tahun 2018.

Walau sudah 10 bulan berlalu, nama beliau masih belum bersih sepenuhnya. Masakan tidak, kehadirannya pada sebuah program hiburan disertai selebriti yang dikaitkan dulu menjadi pertikaian hangat.

Tampak kecewa kerana tindak-tanduk menjadi pertikaian dan perdebatan, bintang yang cukup terkenal menerusi drama Suamiku Lelaki Pendosa itu bagaimanapun terus tabah untuk melangkah.

“Sebagai anak seni, kita memang tidak boleh lari daripada kontroversi. Kita buat salah kita kena, kita tak buat salah pun orang akan tetap anggap kita salah.

“Jadi, saya tidak kisah apa orang nak cakap fasal saya. Apa yang penting ALLAH, keluarga dan rakan rapat tahu saya bagaimana. Kalau orang luar memilih untuk bercakap buruk tentang saya, itu pilihan mereka dan dosa itu biarlah mereka tanggung,“ ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran filem terbaharu lakonannya, Harimau Malaya: The Untold Journey di sebuah hotel terkemuka di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Tidak menafikan kontroversi yang berlaku sedikit sebanyak mengganggu emosi diri, Sophia berkata, dirinya cuba untuk mengabaikan segala kata nista yang dilemparkan demi cinta yang mendalam terhadap karier lakonan.

“Secara jujur memang saya tertekan kerana menjadi sasaran dan tohmahan orang, ada sahaja tindak-tanduk saya yang tidak kena pada mata orang lain.

“Awalnya memang berendam air mata juga, bagaimanapun lama-kelamaan saya bangkit lebih kuat kerana perkara itu mematangkan dan menguatkan saya. Saya sayangkan karier saya, saya suka berlakon, sebagai anak seni, saya tahu, saya tidak boleh lari daripada semua itu (kontroversi).

“Kenapa saya nak kena putus asa hanya kerana orang yang tidak kenal saya dan bercakap perkara yang tidak betul mengenai saya?“ soalnya.

Ketika sesi temu bual rancak dijalankan, pengurus Sophia sempat memberitahu media bahawa artis seliaannya mahu mengelak daripada digandingkan dengan mana-mana pelakon lelaki berstatus suami orang selepas ini.

Menjelaskan permintaannya itu, artis jelita tersebut berkata, beliau sudah penat dengan segala gosip panas dan hanya mahu bekerja dengan tenang.

“Saya sendiri pun pelik, bila ada rakan seangkatan membuat promosi kerja dengan pelakon berstatus suami orang, pengikut media sosialnya menyambut baik.

“Sebaliknya saya, orang akan mula bersangka macam-macam, memerli dan mengutuk. Jadi, saya rasa lebih baik mencegah daripada mengubati,“ ungkapnya sambil menghela nafas.

Ditanya adakah beliau akan meletakkan syarat seandainya perlu bekerja dengan suami orang, Sophia mengakui tiada perancangan untuk berbuat demikian.

“Saya akan buat apa sahaja asalkan kena-mengena dengan kerja dan tidak keterlaluan. Apa orang nak kata, terpulanglah,“ ujarnya ringkas.

Rezeki melimpah

Sementara itu, mengulas penglibatannya dalam filem arahan Datuk Afdlin Shauki, Harimau Malaya: The Untold Journey, Sophia berkata, beliau teruja untuk membintangi filem itu kerana berpeluang bekerjasama dengan pengarah prolifik dan barisan pelakon hebat.

Meskipun tidak meminati sukan bola sepak, tuan punya badan sudah bersedia untuk membuat ulang kaji yang sepatutnya.

Sophia antara pelakon penting dalam Harimau Malaya: The Untold Journey. - FOTO: ROSLI TALIB
Sophia antara pelakon penting dalam Harimau Malaya: The Untold Journey. - FOTO: ROSLI TALIB

“Saya akan membawakan watak sebagai seorang pelakon merangkap pempengaruh media sosial yang bercinta dengan pemain bola sepak. Bagaimanapun, watak itu tetap memberi cabaran kepada saya kerana karakter yang berbeza. Saya juga sendiri tidak begitu arif mengenai bola sepak,“ katanya.

Bagaimanapun, sebelum memulakan penggambaran bersama Afdlin, Sophia akan memulakan babak awal sebuah filem yang masih dirahsiakan tajuknya.

Ternyata, di sebalik kontroversi yang melanda, rezeki buatnya masih mencurah.

“Alhamdulillah, sebelum ini saya baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem Abu Si Raksasa. Minggu depan saya akan mulakan penggambaran sebuah filem lagi.

“Selesai naskhah itu, saya akan mulakan penggambaran Harimau Malaya pada pertengahan November nanti,“ ujarnya menutup tirai perbualan.