Belanjawan 2024: Industri teknologi tinggi di Kerian percepat LRA

Saarani (kanan) ketika menyempurnakan Perasmian Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah pada Sabtu.
Saarani (kanan) ketika menyempurnakan Perasmian Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Pembukaan kawasan perindustrian berteknologi tinggi di daerah Kerian yang diumumkan di dalam Belanjawan 2024 akan membantu mempercepatkan pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) di kawasan utara Perak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pembinaan LRA amat penting bagi menampung keperluan bekalan air untuk industri dan pertanian di kawasan berkenaan.

Menurutnya, dengan wujudnya kawasan perindustrian baharu ini sudah pasti keperluan air akan bertambah.

"Pengumuman itu satu perkara yang sangat penting. Jika berlaku, ia akan mempercepatkan satu proses yang sedang dibuat kerajaan negeri iaitu memohon peruntukan daripada kerajaan pusat bagi buat LRA di utara Perak.

"Sekarang pun memang kita nak buat kerana mahu memenuhi permintaan pengairan padi tapi dengan adanya kawasan industri ini, kita perlukan air yang banyak, maknanya usaha untuk mempercepatkan LRA ini akan menjadi lebih nyata," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah pada Sabtu.

Saarani berkata, kerajaan negeri juga akan melihat tambahan kawasan yang sesuai untuk merealisasikan taman perindustrian berteknologi tinggi seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

Katanya, sebelum ini kerajaan negeri menerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) telah mengenal pasti 40 hektar tanah untuk dibangunkan sebagai kawasan perindustrian baharu di daerah Kerian.

"Pada peringkat awal kita sudah kenal pasti sebidang tanah seluas 40 hektar, tapi dengan pengumuman ini, saya melihat ia memerlukan sekurang-kurangnya 400 hektar tanah. Jadi kita kena lihat semula," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun Saarani enggan mendedahkan lokasi sebenar yang dicadangkan untuk kawasan perindustrian berkenaan.

Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2024 mengumumkan bahawa kerajaan akan membina ekosistem lebih luas untuk kluster elektrik dan elektronik (E&E) di wilayah utara dengan membuka kawasan perindustrian berteknologi tinggi di Kerian, utara Perak.