Fakulti AI pertama di UTM

UTM menjadi IPT pertama tubuh Fakulti AI.
UTM menjadi IPT pertama tubuh Fakulti AI.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjadi institut pengajian tinggi (IPT) yang pertama menubuhkan Pusat Pengajian Kecerdasan Buatan di negara ini.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail berkata, penubuhan pusat pengajian menerusi Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) dilaksanakan dengan peruntukan awal sebanyak RM20 juta.

Menurutnya, kejayaan inisiatif ini dapat dilaksanakan kerana terdapatnya jumlah pakar yang sedia ada dalam bidang AI merentasi pusat pengajian di UTM yang melebihi 100 orang.

"Tenaga pakar ini terdiri daripada ahli akademik dari Fakulti Komputeran, Fakuti Kejuruteraan Elektrik, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Fakulti Kejuruteraan Awam, Fakulti Alam Bina dan Ukur, Fakulti Pengurusan dan Fakulti Teknologi dan Informatik Razak.

"Penubuhan Fakulti Kecerdasan Buatan ini akan bercorak multidisiplin yang mampu menjadikan kecerdasan buatan sebagai pemangkin kepada inovasi dalam pelbagai bidang, antaranya industri pembuatan, kewangan, kesihatan, pertanian, tenaga boleh diperbaharui, keselamatan, ekonomi dan perubahan iklim," jelasnya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau seterusnya menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Kementerian Pendidikan Tinggi atas kepercayaan yang diberikan.

"UTM juga optimis bahawa fakulti ini berupaya memajukan peradaban manusia mengikut acuan Malaysia Madani.

"Penubuhan Fakulti AI ini juga selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena pembentangan Belanjawan 2024 bertemakan Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, penumpuan khusus yang diberikan dalam Belanjawan 2024 untuk membangunkan bakat yang mempunyai pengetahuan, kemahiran dan kompetensi dalam bidang kecerdasan buatan dan robotik adalah bertepatan dalam meyakinkan pelabur serta industri.

"UTM juga merupakan universiti awam yang mempelopori bidang ini dengan meluas. Kami juga mempunyai pusat kecemerlangan seperti Pusat Kecemerlangan Kepintaran Buatan dan Robotik (CAIRO), Pusat Data Raya (BDC), Pusat Penyelidikan Kardiovaskular IJN-UTM dan Institut Kejuruteraan Berpusatkan Manusia (iHumEn).

"Selain itu, UTM telah menghasilkan pelbagai inovasi berteraskan kecerdasan buatan seperti aplikasi robotik untuk industri, aplikasi perubatan & kesihatan dan perisian pintar.

"Contoh produk yang telah dihasilkan adalah seperti ARTECH INSPECTO (Robot pintar berteknologi tinggi bagi melakukan pemeriksaan dan pembersihan di ruang yang sempit); A2TECH X3CATOR (robot pintar untuk pencarian tanpa wayar); aplikasi DIANA Hologram Pintar untuk keselamatan digital dan pembantu sosial pintar; dan lain-lain perisian yang telah digunakan oleh industri," katanya.