Tulisan Jawi: Usah bersikap ekstrem hingga anjur kongres

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

ALOR SETAR - Pas kesal dengan sikap segelintir masyarakat Cina yang enggan menerima sukatan pengajian tulisan Jawi dalam mata pelajaran bahasa Malaysia di sekolah rendah vernakular.

Timbalan Pengerusi Lajnah Pendidikan Pas Pusat, Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi berkata, pihaknya turut mempersoal tindakan Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Pertubuhan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Dong Jiao Zong) yang membantah isu berkenaan sehingga mahu menganjurkan kongres pada 28 Disember ini.

"Tindakan ini amat tidak wajar dan dibimbangi sengaja mahu mewujudkan ketakutan kalangan rakyat terutama kaum Cina dan India dengan menimbulkan persepsi yang sengaja direka.

“Jika kumpulan terbabit mengambil sikap ekstrem sebegitu, hasrat mewujudkan negara harmoni tidak akan kesampaian.

"Tiada apa yang perlu dibimbangkan, silibus pelajaran tulisan Jawi hanya melibatkan beberapa helai muka surat bukan semua pengajiannya dalam tulisan Jawi,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Ahmad Fakhruddin berkata, sentimen itu dibimbangi akan meretakkan perpaduan sedia ada dan harus dihindari dari awal.

“Apakah dengan belajar seni tulisan Jawi, murid akan lupa tulisan dan bahasa ibunda mereka?

"Kumpulan terbabit perlu sedar, kekuatan sesebuah negara berakar umbi dengan sistem pendidikan dijana sikap toleransi dan ikhlas membina masyarakat yang menghormati antara satu sama lain,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kekuatan itu hendaklah didokong oleh semua kaum dalam negara ini.

“Pengenalan pengajian tulisan Jawi di sekolah rendah vernakular adalah usaha yang baik dan mampu memperkenalkan asas silang budaya yang amat bermakna.

"Boleh dijadikan penyambung jalinan kemesraan antara kaum apabila anak-anak belajar dan memahami bahasa serta tulisan masing-masing,” katanya.

Ahmad Fakhruddin berkata, begitu juga sebaliknya sekiranya Kementerian Pendidikan berhasrat memasukkan sukatan mempelajari tulisan/bahasa Cina atau Tamil di sekolah kebangsaan (SK) ia adalah sesuatu yang baharu.

“Isu ini diperhatikan rakyat, malah mereka akan menilai ketegasan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menangani perkara ini.

"Sekiranya Kongres Organisasi Cina tetap anjurkan program terbabit, ia umpama ‘sumbu yang menyala bakal menyebabkan letupan dahsyat’, maka tindakan tegas harus diambil,” katanya.

Katanya, Pas akur kewujudan pelbagai bangsa dan bahasa dalam negara ini namun menolak sikap fanatisme yang dibawa pertubuhan itu.

“Kepelbagaian ini merupakan manifestasi kekuasaan ALLAH SWT. Kini terletak atas kebijaksanaan kerajaan PH mengolah kepelbagaian bangsa dan kaum dalam membina perpaduan dan keharmonian negara,” katanya.

Dong Jiao Zong merancang menganjurkan Kongres Organisasi Cina sebagai membantah garis panduan berhubung pengajaran tulisan Jawi selain bertujuan bagi meyakinkan kerajaan membatalkan hasrat memperkenalkan pengajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular.

Pelajaran Jawi akan dimasukkan ke dalam sukatan pelajaran bahasa Malaysia darjah empat bermula tahun depan tertakluk kepada persetujuan ibu bapa pelajar.

Menurut garis panduan Kementerian Pendidikan pada 5 Disember, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah akan edarkan kaji selidik kepada ibu bapa dan jika majoriti memilih bersetuju, tiga halaman pelajaran itu akan diajar.