FRA langkah positif kerajaan perteguh tata kelola

FRA dilihat sebagai satu langkah positif dalam memperkukuh komitmen kerajaan dalam memperteguh tata kelola serta menjamin ketelusan. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Nurhayati)
FRA dilihat sebagai satu langkah positif dalam memperkukuh komitmen kerajaan dalam memperteguh tata kelola serta menjamin ketelusan. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Nurhayati)
A
A
A

SHAH ALAM - Penggubalan Rang Undang-Undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (FRA) yang disentuh oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Belanjawan 2024, dilihat sebagai satu langkah positif dalam memperkukuh komitmen kerajaan dalam memperteguh tata kelola serta menjamin ketelusan dan pertanggungjawaban.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (Rasuah Busters), Nurhayati Nordin berkata, bagaimanapun langkah itu memerlukan pematuhan yang tegas untuk memastikan penggunaan sumber kewangan ditata kelola dengan berhemah dan ketirisan dapat dielakkan.

Katanya, penggunaan dana awam yang dipertingkatkan ketelusannya melalui penggubalan FRA ini diharap mampu mengawal dan mengurangkan risiko ‘non compliance’ kepada tempoh kontrak tertentu, misalnya kelewatan dan kerugian sebarang projek dapat dielakkan bagi merealisasikan matlamat belanjawan 2024.

"Melalui undang-undang fiskal, kita harapkan prinsip kewangan yang lebih sihat dan kerajaan kekal serius untuk meluaskan asas hasil negara, tanpa membebankan rakyat.

"Dan tentunya kerajaan harus memastikan belanjawan 2024 dipadankan dengan polisi-polisi dan strategi ekonomi yang telah diumumkan sebelum ini untuk manfaat optimum rakyat," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

RUU tersebut bertujuan mengadakan peruntukan bagi tanggungjawab, kebertanggungjawaban, tadbir urus dan ketelusan kerajaan dalam menguruskan kewangan awam dan risiko fiskal.

Ini khususnya berkaitan dengan hasil, perbelanjaan, pinjaman dan hutang; melaporkan dokumen belanjawan tahunan dan penerbitan dokumen lain dan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara lain yang berkaitan.

RUU itu turut menyatakan objektif fiskal dan nilai kuantiti, antaranya untuk memastikan perbelanjaan pembangunan tahunan minimum yang dilakukan sebagai peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi menjana pertumbuhan ekonomi.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Nurhayati berkata mengemudi akta ini seiring belanjawan yang dirangka jauh lebih penting terutama daripada sudut akauntabiliti dan ketegasan penguatkuasaan berkaitan.

"Ini bagi memastikan strategi yang dirancang selari dengan belanjawan yg memberi nilai tambah kepada pemulihan sektor ekonomi dan sosial negara," katanya.