'Saya keliru dengan Belanjawan 2024' - Wan Ahmad Fayhsal

Wan Ahmad Fayhsal ketika ditemui pemberita selepas selesai pembentangan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Wan Ahmad Fayhsal ketika ditemui pemberita selepas selesai pembentangan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang ahli Parlimen pembangkang mengakui keliru dengan Belanjawan 2024 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat di sini pada Jumaat.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad berkata, ia berikutan ada beberapa fokus utama tidak disentuh secara spesifik oleh Ahli Parlimen Tambun itu.

“Walaupun (ada beberapa perkara telah) disentuh dalam pembentangan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) tapi berharap beliau akan hurai balik (dalam Belanjawan 2024) tetapi ia tidak berlaku.

“Sebagai contoh mengenai pelaburan yang digembar-gemburkan sebelum ini mengenai Tesla dan sebagainya sebab kita hendak tahu adakah ia benar-benar turun ke bawah iaitu kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Belanjawan 2024 yang dibentangkan pada Jumaat.

Tambah Wan Ahmad Fayhsal, beliau mengharapkan kekeliruan yang dibangkitkan itu akan terjawab pada sesi perbahasan yang akan berlangsung bermula Isnin ini.

“Kita menunggu sehingga hari perbahasan untuk mendengar penerangan yang akan dibuat oleh menteri berkaitan nanti,” katanya.

Sementara itu, beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) berkata, pembangkang akan terus memainkan peranan sebagai semak dan imbang kepada Kerajaan Perpaduan.

Artikel Berkaitan:

“Kami di pihak pembangkang akan sentiasa main peranan semak dan imbang agar rakyat benar-benar dapat pulangan yang terbaik daripada Belanjawan 2024 ini,” katanya.

Terdahulu, Anwar mengambil masa kira-kira dua jam 30 minit membentangkan Belanjawan 2024 setebal 114 halaman.

Belanjawan kali ini merupakan yang kedua dibentangkan beliau di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Kerajaan memperuntukkan RM393.8 bilion bagi Belanjawan 2024, tertinggi pernah dibentangkan merangkumi RM303.8 bilion untuk belanja mengurus, RM90 bilion bagi pembangunan dan RM2 bilion simpanan luar jangka.