Lebih 5,000 hadir bersama Sanusi nyatakan solidariti terhadap Palestin

Antara NGO yang hadir dan turut menyerahkan replika cek kepada Muhammad Sanusi.
Antara NGO yang hadir dan turut menyerahkan replika cek kepada Muhammad Sanusi.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Lebih 5,000 umat Islam diketuai konvoi berkuda membanjiri Dataran Zero Kilometer di sini bagi menyatakan solidariti perjuangan Palestin menentang rejim Zionis pada Jumaat.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kehadiran ramai penyokong biarpun dalam keadaan cuaca panas menunjukkan kesedaran bagi membela nasib rakyat Palestin telah meluas.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi PASRelief berkata, dengan kesedaran yang ada, mengharapkan lebih banyak kutipan sumbangan dapat disalurkan bagi membantu rakyat Palestin yang memerlukan bantuan.

"Saya harap RM20 juta dapat dikumpulkan sepanjang kempen ini, dalam tempoh sekurang-kurangnya dua minggu di seluruh Malaysia," katanya kepada pemberita ketika hadir ke Himpunan Solidariti Rakyat Palestin anjuran Gabungan NGO Pembela Rakyat Palestin pada Jumaat.

Muhammad Sanusi berkata, biarpun laluan pintu masuk ke Gaza telah dikepung oleh tentera Zionis, namun bantuan dapat disalurkan melalui kaedah tertentu.

Perarakan himpunan diketuai konvoi berkuda yang turut membanjiri Dataran Zero Kilometer pada Jumaat.
Perarakan himpunan diketuai konvoi berkuda yang turut membanjiri Dataran Zero Kilometer pada Jumaat.

"Tentulah ada jalan boleh dimasuki, saya ada pengalaman itu, kalau kita tak boleh masuk, dia keluar, adalah cara-cara yang mereka pun rahsiakan pada kita macam mana depa boleh keluar...ada depan kita, depa menyusup masuk, dan laksana agihan (bantuan)," katanya.

Jelas beliau, keutamaan yang diberikan tentulah membabitkan projek baik pulih hospital dan kelengkapan perubatan yang sangat diperlukan ketika ini.

Artikel Berkaitan:

"Di Gaza tahun lepas kita baik pulih hospital dan satu tingkat bangunan di Lubnan, keperluan pada ketika ini oleh rakan kita di Gaza ialah hospital, kebetulan hospital yang kita nak naik taraf itu pun kena.

Antara yang hadir ke Himpunan Solidariti Rakyat Palestin di Dataran Zero Kilometer pada Jumaat.
Antara yang hadir ke Himpunan Solidariti Rakyat Palestin di Dataran Zero Kilometer pada Jumaat.

"Jadi nak kena buat proses pembinaan semula, selain daripada bangunan infrastruktur hospital, kita juga perlukan kepada ubat-ubatan, peralatan, katil dan sebagainya," katanya.

Sebelum itu, kira-kira 20 badan bukan kerajaan (NGO) di Kedah menyampaikan replika cek sumbangan kepada rakyat Palestin yang diterima Muhammad Sanusi bagi mewakili PASRelief.