Pemimpin kerajaan, pembangkang sepentas solidariti sokong Palestin

Pemimpin kerajaan dan pembangkang sepentas bagi menyatakan solidariti kepada rakyat Palestin pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza di Masjid Negara. - Foto: ROSLI TALIB
Pemimpin kerajaan dan pembangkang sepentas bagi menyatakan solidariti kepada rakyat Palestin pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza di Masjid Negara. - Foto: ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemimpin politik Kerajaan Perpaduan dan pembangkang sepentas bagi menyatakan solidariti kepada rakyat Palestin pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza di Masjid Negara, di sini pada Jumaat.

Himpunan bermula pada jam 2 petang itu telah dihadiri ribuan penyokong termasuklah badan bukan kerajaan (NGO).

Antara pemimpin yang hadir dan memberi ucapan ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu; Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli; Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari dan Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Dr Kelvin Yii Lee Wuen.

Dr Mahathir berkata, Israel telah merampas tanah Palestin kira-kira 70 tahun lamanya.

"Mereka (rejim Israel) bukan sahaja merampas tapi mendera, membunuh dan menahan rakyat Palestin tanpa bicara.

"Apabila Israel lakukan keganasan, tiada seorang menegur dan itulah kezalimannya. Kita perlu tindakan pertahan umat Islam di Palestin," katanya semasa berucap di hadapan penyokong solidariti Palestin di sini pada Jumaat.

Dr Mahathir (tengah) antara pemimpin yang hadir. - FOTO: ROSLI TALIB
Dr Mahathir (tengah) antara pemimpin yang hadir. - FOTO: ROSLI TALIB

Tambah Dr Mahathir, rakyat Malaysia perlu beri kerjasama bantu Palestin.

Artikel Berkaitan:

"Saya kagum dan usah lupa bahawa tuhan akan makbulkan doa solat kita untuk membantu Palestin. Kita bantu derma wang dan ubat supaya rakyat di sana dapat diberi rawatan sepatutnya," jelasnya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, pihaknya menyokong penuh apa yang dilakukan Hamas bagi menentang kezaliman terhadap rakyat Palestin yang tidak berdosa.

Ujarnya, apa yang dilihat, tanah Palestin dirampas, nyawa terkorban, harta benda termasuklah masjid, sekolah dan hospital dimusnahkan.

"Himpunan hari ini menyatakan pendirian sebagai rakyat Malaysia tidak kira parti mana kerana kita bersatu hati.

"Kita tahu apa yang berlaku di Palestin. Paling tenat sekarang ini kerana ramai terkepung di Gaza," katanya.

Antara penyokong yang hadir dalam Himpunan Solidariti Bersama Gaza di Masjid Negara, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Antara penyokong yang hadir dalam Himpunan Solidariti Bersama Gaza di Masjid Negara, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Tambah Muhyiddin, beliau menyatakan sokongan padu dari semua rakan seperjuangan untuk terus sebagai satu tindakan yang berkesan.

"Kita bantu sumbangan, infaq dan apa sahaja pertolongan untuk ringankan bebas mereka (rakyat Palestin). Kita doa kepada ALLAH dan semoga kemerdekaan milik Palestin," ujarnya.

Himpunan itu berakhir kira-kira jam 3.30 petang selepas ucapan diakhiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.

End..