Ketat kawalan penyeludupan produk minuman keras mulai 1 Januari 2024

Anwar
Anwar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memperketatkan langkah kawalan penyeludupan produk minuman keras dengan melaksanakan beberapa inisiatif mulai 1 Januari 2024.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara inisiatif tersebut ialah mengehadkan aktiviti pindah kapal bagi produk itu di pelabuhan tertentu sahaja.

“Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan Bukit Kayu Hitam akan dijadikan sebagai laluan keluar tunggal bagi wilayah utara.

“Selain itu, aktiviti import bagi rokok untuk pasaran domestik pula dilakukan secara muatan kontena secara penuh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Dewan Rakya pada Jumaat.

Dalam pada itu, Anwar berkata, pihaknya bersetuju akan memberi ganjaran kepada agensi penguat kuasa di atas komitmen berterusan dan prestasi cemerlang membanteras ketirisan hasil negara.

“Kerajaan menghargai komitmen agensi penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dalam meningkatkan usaha penguatkuasaan serta operasi membanteras ketirisan tersebut.

“Ketangkasan tindakan PDRM membanteras jenayah dan ikhtiar SPRM menggeledah sindiket kewangan dan kartel perlu dihargai.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai langkah dorongan, sukacita saya bersetuju bahawa agensi penguat kuasa yang menunjukkan komitmen berterusan dan prestasi cemerlang akan diberikan ganjaran sewajarnya,” ujarnya.