Bijak atur kewangan agar terus 'bernafas'

Kita sebagai pengguna perlu bijak mengatur kewangan agar terus ‘bernafas’ hingga penghujung bulan. - Foto 123RF
Kita sebagai pengguna perlu bijak mengatur kewangan agar terus ‘bernafas’ hingga penghujung bulan. - Foto 123RF
A
A
A

ISU kenaikan harga barang sejak kebelakangan ini menimbulkan keresahan kepada rakyat yang terpaksa mengeluarkan wang lebih untuk menampung perbelanjaan keperluan harian.

Bayangkan mereka yang mempunyai tanggungan ramai perlu mengeluarkan belanja besar untuk memenuhi kehendak isi rumah.

Malah pengalaman penulis sendiri ketika beli barang keperluan termasuklah beras dan sabun cuci pakaian baru-baru ini memang terasa peritnya kerana perlu bayar kira-kira RM200. Itu belum termasuk lagi barang lain seperti telur, gula dan sayur.

Penulis masih bujang, belum berkeluarga. Sudah habis berjimat dengan hanya beli barang penting tetapi sudah mencecah RM200.

Bagi mereka yang telah berkeluarga, ada anak ramai, penulis pasti mereka ‘wajib’ menyediakan bajet lebih tinggi untuk beli barangan keperluan asas.

Justeru, tak hairanlah jika mereka mengeluh kerana terpaksa bergelut dengan kenaikan kos barangan.

Yang boleh mereka lakukan adalah bijak merancang perbelanjaan, selain berjimat cermat ketika membeli-belah.

Mereka perlu mendahulukan barang yang menjadi keutamaan dan keperluan, berbanding kehendak buat masa ini, selain sentiasa melakukan perbandingan harga sebelum membeli sesuatu barang.

Artikel Berkaitan:

Tidak salah ketepikan soal jenama dan memilih barangan yang harganya lebih murah asalkan barangan tersebut berkualiti.

Contohnya, produk jenama Y adalah jenama import terkenal, sementara jenama X pula kurang dikenali tetapi menawarkan harga lebih murah.

Jadi, adalah lebih baik dalam keadaan serba mencabar ini, pengguna terutama yang berpendapatan rendah atau sederhana mengutamakan pembelian barangan yang menjual pada harga berpatutan, jauh lebih murah tanpa mengira sesuatu jenama.

Pada 29 September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan mengakui wujudnya keresahan mendesak berkaitan kenaikan harga barangan yang memberi kesan kepada perbelanjaan rakyat.

Menurut Anwar, Kementerian Kewangan sedia menampung dan memberi bantuan tambahan bagi mengimbangi kesan kenaikan harga barangan kepada rakyat.

Negara kini berdepan kenaikan harga makanan ruji rakyat iaitu beras sehingga rantaian bekalan beras tempatan yang disubsidi kerajaan mula terjejas di pasaran, susulan permintaan tinggi pengguna yang beralih daripada beras import kepada tempatan, selain pengeluaran stok terhad daripada pengilang.

Baru-baru ini juga, Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh melakukan pemeriksaan secara mengejut di dua kilang beras di negeri itu selepas menyedari kesukaran rakyat untuk dapatkan bekalan beras.

Tindakan itu susulan aduan diterima daripada orang ramai mengenai ketiadaan bekalan beras tempatan di kedai runcit dan pasar raya sekitar Melaka.

Langkah diambil oleh Dr Muhamad Akmal mendapat pujian pelbagai pihak kerana dilihat bersikap tegas dengan salah seorang pengilang yang didakwa enggan menjual beras tempatan pada harga disyorkan iaitu RM25.50 untuk sekampit beras 10 kilogram (kg).

Kejadian itu menunjukkan sebenarnya masih ada lagi pihak sengaja melakukan aktiviti pencatutan dan monopoli untuk mengambil kesempatan ke atas pengguna.

Alangkah baiknya jika lebih ramai pemimpin yang sentiasa turun padang, memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang suka mengambil kesempatan ke atas pengguna.

Selain itu, kerajaan melalui kementerian berkaitan juga perlu memantau harga barang dan terus mengeluarkan kompaun kepada peniaga yang tidak mematuhi harga barang ditetapkan.

Kerajaan digesa memainkan peranan supaya mengekalkan harga barang pada harga munasabah untuk tempoh yang lama, selain memastikan tiada lagi kenaikan harga barang.

Mengharapkan harga barang turun mendadak agak mustahil berlaku sekarang.

Jadi, kita sebagai penggunalah yang perlu bijak mengatur kewangan agar terus ‘bernafas’ hingga penghujung bulan.

* Nurfardlina Izzati Moktar ialah wartawan Sinar Harian.