Peruntukan RM10 juta bukti Perak prihatin urusan bukan Islam

Antara persembahan menarik ditampilkan sempena Sambutan Malam Krismas Negeri Perak 2019 di Stadium Indera Mulia malam ini.
Antara persembahan menarik ditampilkan sempena Sambutan Malam Krismas Negeri Perak 2019 di Stadium Indera Mulia malam ini.
A
A
A

IPOH - Peruntukan RM10 juta yang disediakan bagi urusan hal ehwal bukan Islam tahun hadapan bukti keprihatinan kerajaan Perak kepada rakyat negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ia sebagai tanda komitmen untuk memastikan kestabilan politik, kemajuan ekonomi, kemakmuran sosial dan keharmonian antara agama dan bangsa yang dinikmati rakyat, kekal terpelihara.

"Dalam Belanjawan Negeri Perak 2020 yang diumumkan sebelum ini, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi menambah baik atau membina rumah ibadat bukan Islam yang baharu juga untuk aktiviti dijalankan.

"Jika ada kekurangan, saya mengajak semua bersama-sama menggembleng tenaga agar kita sebagai kerajaan dan masyarakat, saling melengkapi untuk kemajuan negeri Perak yang kita sayangi ini," katanya sempena Sambutan Malam Krismas Negeri Perak 2019 di Stadium Indera Mulia di sini malam ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Penasihat Khas Menteri Besar Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.

Zainol Fadzi mewakili Menteri Besar Perak.
Zainol Fadzi mewakili Menteri Besar Perak.

Ahmad Faizal berkata, semangat hidup berjiran dan saling hormat-menghormati tanpa mengira bangsa yang diamalkan sehingga kini tidak seharusnya pudar hanya disebabkan isu-isu remeh, mudah terpengaruh dengan sebarang sentimen keagamaan atau kebangsaan yang sempit.

"Kepelbagaian harus jadi kekuatan, bukan kelemahan. Oleh sebab itu, kita harus sentiasa menghargai kepelbagaian yang ada.

Artikel Berkaitan:

"Perak sebagai sebuah negeri yang bermasyarakat majmuk, tiada yang lebih berharga daripada melihat keharmonian masyarakatnya kekal terpelihara," katanya.

No Image Caption

Majlis dimeriahkan dengan pelbagai persembahan itu dihadiri lebih 5,000 masyarakat pelbagai kaum.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Ngeh Koo Ham; Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu, Paul Yong Choo Kiong dan Ketua Biskop Asia Tenggara dan Anglikan Bishop Malaysia Barat, Datuk Ng Moon Hing.