Gagal sekali bukan bererti gagal selamanya

Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah bersama Naib Presiden Angkasa, Profesor Madya Datuk Mohamad Ali Hasan (kiri) menyampaikan plak dan sijil penghargaan kepada Maryam Sofiah pada majlis di Klana Jaya di sini hari ini. - FOTO ZAHID IZZANI
Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah bersama Naib Presiden Angkasa, Profesor Madya Datuk Mohamad Ali Hasan (kiri) menyampaikan plak dan sijil penghargaan kepada Maryam Sofiah pada majlis di Klana Jaya di sini hari ini. - FOTO ZAHID IZZANI
A
A
A

PETALING JAYA - Prinsip gagal sekali bukan bermakna gagal selama-lamanya membawa kejayaan kepada graduan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Sains Sosial (Geografi) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) apabila pembiayaan pelajarannya ditukar kepada biasiswa.

Maryam Sofiah Awang, 23, menganggap biasiswa sebanyak RM10,000 di bawah Yayasan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) sebagai anugerah tidak ternilai selepas bertungkus-lumus belajar selama ini.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, dia berbangga kerana usahanya berhasil sehingga menerima Nilai Gred Purata (CGPA) 3.71 dan berhasrat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

"Kejayaan ini adalah inspirasi daripada arwah ibu saya yang juga bekas Ahli Dewan Negara, Allahyarham Senator Sapinah Jusoh yang sentiasa berpesan untuk sentiasa fokus dan berusaha keras untuk mencapai sesuatu tujuan atau matlamat.

"Selain itu saya juga ada mengamalkan teknik tersendiri untuk belajar dengan memberikan tumpuan ketika berada dalam kelas," katanya ketika ditemui sempena Majlis Pelancaran Portal Pelajar dan Penyampaian Dokumen Pembiayaan Pendidikan Yayasan Angkasa Sesi 2019/2020 di Auditorium Angkasa, Wisma Ungku Abdul Aziz di sini hari ini.

Maryam turut menghafaz 10 juzuk al-Quran hasil didikan bapanya, Awang Embong, 68, yang juga seorang tenaga pengajar di Maahad Tahfiz dan Tarbiah Darul Iman Tok Jiring yang turut diasaskan oleh Allahyarham ibunya.

Sementara itu, seorang lagi penerima biasiswa Yayasan Angkasa, Nur Hanisah Rasyid berkata, disiplin serta pengurusan masa yang betul antara kunci beliau.

Penuntut bidang Pentadbiran Perniagaan (Kewangan) di Universiti Teknologi Mara, Merbok Kedah itu mengamalkan kedua-dua elemen berkenaan sepanjang tempoh pengajiannya dan ternyata berkesan.

Artikel Berkaitan:

"Dalam apa juga bidang sekali pun, disiplin dan pengurusan masa itu penting. Kedua-dua elemen ini juga akan membantu dalam kehidupan seharian," katanya.