Krisis Palestin-Israel: China giat dorong gencatan senjata, galak rundingan damai

Rakyat Palestin mengosongkan kawasan kejiranan di Bandar Gaza semasa serangan udara Israel. - Foto AFP
Rakyat Palestin mengosongkan kawasan kejiranan di Bandar Gaza semasa serangan udara Israel. - Foto AFP
A
A
A

BEIJING - Utusan khas kerajaan China bagi isu Asia Barat, Zhai Jun, menghubungi Timbalan Menteri Luar Pertama Palestin, Amal Jadou, menerusi telefon pada Rabu.

Zhai berkata, China sedih melihat kematian dan kecederaan orang awam yang tidak bersalah akibat konflik Palestin-Israel, serta amat bimbang terhadap situasi keselamatan dan kemanusiaan yang semakin buruk.

"Tugas yang paling mendesak ketika ini adalah mewujudkan gencatan senjata serta-merta dan melindungi orang awam.

"Masyarakat antarabangsa harus memainkan peranan efektif ke arah meredakan ketegangan dan menyediakan bantuan kemanusiaan," kata beliau.

Menurut Zhai, jalan keluar bagi menamatkan konflik itu terletak pada pemulihan rundingan damai berasaskan 'penyelesaian dua negara', penubuhan negara Palestin yang merdeka serta realisasi hidup bersama secara aman antara Palestin dengan Israel.

"Kami (China) akan terus mendorong gencatan senjata dicapai bagi menamatkan keganasan dan membantu meredakan krisis kemanusiaan.

"Pihak kami juga akan aktif menggalakkan perdamaian dan perundingan, sekali gus memainkan peranan konstruktif dalam menggerakkan penyelesaian isu berkenaan secara menyeluruh, adil dan berkekalan," katanya.

Sementara itu, Jadou menzahirkan penghargaan atas pendirian konsisten China dalam isu Palestin, sambil menyuarakan harapan agar terus memainkan peranan bersifat membina. - Bernama

Artikel Berkaitan: