Gaza berdepan bencana kemanusiaan, bantuan perlu sampai ke Palestin

Seorang lelaki Palestin berdiri berhampiran bangunan yang musnah dalam serangan udara Israel di Bandar Gaza pada Rabu. - Foto Xinhua
Seorang lelaki Palestin berdiri berhampiran bangunan yang musnah dalam serangan udara Israel di Bandar Gaza pada Rabu. - Foto Xinhua
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Situasi terkini di Gaza semakin meruncing apabila jumlah kematian melibatkan orang awam terus meningkat di tengah-tengah pencerobohan dan sekatan menyeluruh oleh rejim Israel.

Penyelaras Misi Keamanan Global Malaysia (GPM) di pusat kemanusiaan di Gaza, Dr Tareq M Altalmas berkata, bekalan keperluan asas termasuk air dan elektrik terjejas teruk, menjadikan kehidupan lebih sukar bagi penduduk Palestin yang hilang tempat tinggal.

Beliau berkata, talian telekomunikasi tidak berfungsi di kebanyakan bahagian.

"Pengeboman berterusan tanpa amaran awal, mengorbankan keluarga, kanak-kanak dan wanita dalam sekelip mata,” katanya kepada Bernama menerusi pesanan dari medan pertempuran (ground zero).

Tareq yang mengendalikan pusat itu bersama 10 sukarelawan Palestin berkata walaupun keganasan berterusan, pusat itu telah melakukan yang terbaik dalam memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

"Kami menghadapi masalah untuk bergerak di darat ekoran pengeboman yang berterusan kerana tiada garis merah bagi pasukan penjajah Israel. Wartawan, pasukan perubatan, orang awam setiap seorang daripada mereka boleh menjadi sasaran Israel,” katanya.

Peningkatan keganasan antara Israel-Palestin sejak 7 Oktober telah menyebabkan banyak nyawa terkorban membabitkan kedua-dua pihak.

Lebih 338,000 orang di Semenanjung Gaza terpaksa meninggalkan kediaman mereka ekoran beribu-ribu kediaman, institusi awam dan infrastruktur telah dimusnahkan oleh Israel.

Artikel Berkaitan:

"Kami kini cuba menyediakan keperluan kepada mereka yang kehilangan tempat tinggal di sekolah UNRWA (United Nations Relief and Works Agency for Palestine Refugees). Dianggarkan lebih 100,000 orang kini berlindung di sekolah-sekolah terbabit.

"Doakan kami,” kata Tareq.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif GPM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin ketika dihubungi Bernama menggesa Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak rakan sejawatannya dari Mesir untuk membuka lintasan Rafah, bagi membolehkan bantuan kemanusiaan dihantar ke Gaza.

Beliau berkata, Gaza berada di ambang bencana kemanusiaan jika tiada tindakan diambil untuk menghentikan keganasan yang berterusan terhadap rakyat Palestin.

"Lintasan Rafah adalah satu-satunya talian hayat bagi rakyat Palestin sekarang," katanya.

Fahmi menambah, GPM bersedia untuk menggerakkan sumber kemanusiaannya ke Gaza sebaik sahaja mereka mendapat lampu hijau daripada pihak berkuasa untuk berbuat demikian.

Sementara itu, beliau juga merayu kepada orang ramai untuk menderma kepada tabung kecemasan Taufan Al-Aqsa GPM yang dilancarkan Rabu, untuk membantu rakyat Palestin. Semua sumbangan boleh disalurkan ke Global Peace Mission menerusi akaun Maybank Islamic: 5642-2161-1602.