Nelayan disyaki pecah amanah, palsu dokumen libat RM8 juta

Suspek (tengah) ketika dibawa ke Kompleks Mahkamah Kangar pada Khamis.
Suspek (tengah) ketika dibawa ke Kompleks Mahkamah Kangar pada Khamis.
A
A
A

KANGAR - [DIKEMAS KINI] Seorang nelayan direman lima hari untuk membantu siasatan selepas disyaki melakukan kes pecah amanah dan pemalsuan dokumen melibatkan kerugian hampir RM8 juta pada 2018 hingga 2020.

Majistret Nurshahidan Abd Rahim membenarkan reman bermula Khamis hingga 16 Oktober selepas suspek dibawa ke Kompleks Mahkamah Kangar, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, lelaki berusia 47 tahun itu sebelum ini telah diburu selama enam minggu sebelum berjaya ditahan oleh polis di Alor Setar pada petang Rabu.

Menurutnya, suspek ditahan selepas satu laporan polis diterima pada 26 Ogos lalu daripada seorang pelabur warga asing yang mendakwa rugi hampir RM8 juta selepas diperdaya oleh rakan niaganya.

"Mangsa mendakwa rakan niaganya dilantik sebagai pengarah syarikat bagi perniagaan pengilangan memproses serbuk ikan dan vitamin untuk pasaran tempatan serta luar negara yang beralamat di Kuala Perlis," katanya ketika dihubungi pemberita pada Khamis.

Jelasnya, siasatan mendapati kejadian bermula sejak 2018 hingga 2020 dan suspek didakwa mengambil kesempatan semasa sekatan perjalanan dikuatkuasakan bagi mencegah penularan pandemik Covid-19.

"Suspek disyaki melakukan jenayah pecah amanah dan pemalsuan dokumen terhadap syarikat dengan menjual empat lot tanah milik syarikat mereka di Kuala Perlis kepada pihak ketiga," ujar beliau.

Yusharifuddin berkata lagi, perbuatan berkenaan didakwa dilakukan tanpa pengetahuan mangsa yang berada di negara asalnya dan suspek telah menyekat urusan diteruskan dengan memasukkan 'kaveat' atau pencegahan pendaftaran transaksi mengikut Kanun Tanah Negara (NLC) ke atas kesemua tanah milik syarikat mangsa.

Artikel Berkaitan:

"Polis telah melancarkan operasi 'Ops Pekaka' bagi mengesan semua suspek termasuk peguam dan pembeli yang dipercayai berada di beberapa negeri di utara tanah air dan sekitar Lembah Klang," kata beliau.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 409/471 Kanun Keseksaan kerana pemalsuan dokumen dan pecah amanah.