X

Kindly register in order to view this article
!

Kedah galak papan iklan tulisan jawi

Penggunaan tulisan jawi pada papan iklan di negeri ini digunakan secara meluas.
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah tidak mengenakan sebarang sekatan dalam penggunaan tulisan jawi pada papan iklan di negeri ini, malah menggalakkan penggunaan tulisan itu, selain bahasa Melayu dan Inggeris.

Exco Kerajaan Tempatan, Tan Kok Yew berkata, pihaknya meneruskan tradisi penggunaan tulisan jawi pada papan iklan, termasuk dwibahasa pada papan tanda jalan bagi mengekalkan identiti Kedah.

Menurutnya, ia termaktub mengikut akta kerajaan tempatan dan sudah lama dilaksanakan di negeri ini.

“Memang Kedah memiliki banyak papan iklan yang paparkan tulisan jawi, ia bagaikan identiti negeri ini. Bawah akta kerajaan tempatan, tulisan jawi boleh digunakan kerana secara tradisi, ia antara bahasa yang difahami ramai sebelum tulisan roman digunakan secara meluas,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Kok Yew berkata, sebahagian besar papan iklan di negeri ini memaparkan dua atau tiga bahasa, iaitu bahasa Melayu, Inggeris dan jawi.

“Ia bukan satu kesalahan, semua negeri juga mempunyai peraturan seumpama cuma Kedah amat menggalakkan tulisan jawi yang kita jadikan identiti negeri sejak berzaman. Tambahan pula, ada permintaan tinggi untuk gunakan tulisan jawi pada papan iklan,” katanya.

Menurutnya, yang penting adalah mesej yang ingin disampaikan pengiklan sampai kepada golongan sasaran, selain tidak melanggari peraturan ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Jika ada sasaran untuk kelompok tertentu, contohnya kawasan pelancongan dibolehkan guna bahasa Inggeris atau bahasa negara lain, tiada masalah asalkan tidak langgar ketetapan dan syarat papan iklan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, pihaknya sentiasa memantau kandungan papan iklan di negeri ini agar tidak memaparkan aksi melampau mahupun perkataan tidak sesuai.

“Kita tegas pantau, setakat ini tiada pengiklan yang langgar peraturan ditetapkan. Garis panduan diberikan sebelum mereka buat permohonan, jika ada unsur sensitif memang kita tidak benarkan dan tapisan ketat dilakukan sebelum pemasangan,” katanya mengulas isu iklan seumpama aplikasi Sugarbook yang berlaku di ibu negara.

Kok Yew berkata, pihaknya juga sentiasa mengarahkan PBT menanggalkan iklaneka haram seperti iklan pinjaman wang tidak berlesen atau ah long sekitar negeri ini.

“Pembersihan dilakukan secara berterusan terutama di tempat awam seperti jalan raya dan kawasan terbuka. Kita juga mahu penduduk bantu tanggalkan iklan seumpama yang dilekatkan pada premis bangunan,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus