Perkasa Bahasa Melayu dalam aspek pendidikan

MSDBKSP 2023 manifestasi kesungguhan KPM

A
A
A

Fadhlina (tiga, kiri) menyerahkan Anugerah Tokoh Bahasa Melayu Sektor Pendidikan Kategori Teknik Vokasional kepada Dr Siva sempena MSDBKSP 2023.
Fadhlina (tiga, kiri) menyerahkan Anugerah Tokoh Bahasa Melayu Sektor Pendidikan Kategori Teknik Vokasional kepada Dr Siva sempena MSDBKSP 2023.

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyemarakkan usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam kalangan warga kerja kementerian dan agensi di bawahnya.

Usaha murni itu diterjemahkan oleh KPM menerusi Majlis Sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan Sektor Pendidikan (MSDBKSP) 2023 yang telah berlangsung di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu, di sini pada Selasa dan disempurnakan oleh Menteri Pendidikan,Fadhlina Sidek.

Sambutan yang diadakan setiap tahun itu merupakan langkah proaktif KPM menjenamakan semula sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) sekali gus mengukuhkan serta mempamerkan jati diri dan citra bangsa Malaysia.

KPM dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian memaklumkan, sambutan tersebut adalah komitmen berterusan kementerian itu bagi memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan dalam setiap program atau aktiviti dalam sektor pendidikan.

MSDBKSP 2023 merupakan komitmen KPM memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan dalam setiap program atau aktiviti dalam sektor pendidikan.
MSDBKSP 2023 merupakan komitmen KPM memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan dalam setiap program atau aktiviti dalam sektor pendidikan.

“Pelbagai kegiatan kebahasaan dan kesusasteraan telah dilaksanakan di seluruh negara khususnya sektor pendidikan yang terdiri daripada KPM,Majlis Amanah Rakyat (MARA), Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPNIN) serta Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) bagi memperkasa dan memartabatkan Bahasa Kebangsaan.

Artikel Berkaitan:

“Sambutan (MSDBKSP 2023) ini memperlihatkan kesungguhan pengurusan tertinggi KPM dan warga KPM untuk terus menjunjung, mendaulatkan serta mengukuhkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam segala aspek pentadbiran dan pengurusan,” kata kenyataan itu hari ini.

Selain program Bengkel Penulisan Dokumen Rasmi Kerajaan, MSDBKSP 2023 itu turut diadakan pertandingan Pengucapan Awam Peringkat KPM, Forum Bahasa Melayu Sektor Pendidikan, Bengkel Pemerkasaan Tulisan Jawi peringkat KPM dan pelbagai aktiviti lain di peringkat bahagian serta agensi.

Para pelajar yang membuat persembahan sempena MSDBKSP 2023 bergambar bersama Fadhlina (tengah) sambil menunjukkan gaya tari.
Para pelajar yang membuat persembahan sempena MSDBKSP 2023 bergambar bersama Fadhlina (tengah) sambil menunjukkan gaya tari.

Pada masa sama, sambutan itu turut menyaksikan Ketua Jabatan Teknologi Awam dari Kolej Vokasional (KV) Slim River Perak, Ts Dr Siva A/L Rabindarang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Bahasa Melayu Sektor Pendidikan bagi Kategori Teknik Vokasional Tahun 2023.

Sementara itu, Dr Siva ketika dihubungi hari ini melahirkan rasa terima kasihnya ke atas KPM yang menghargai usahanya memurnikan penggunaan bahasa kebangsaan terutamanya dalam bidang teknikal.

Dr Siva yang berusia 46 tahun itu memberitahu, beliau sentiasa memberi fokus kepada penerapan penggunaan bahasa kebangsaan dalam setiap pembelajaran vokasional di KV Slim River.

Dr Siva menunjukkan anugerah yang diterimanya sempena MSDBKSP 2023 di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur pada Selasa.
Dr Siva menunjukkan anugerah yang diterimanya sempena MSDBKSP 2023 di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur pada Selasa.

Selain menerapkan bahasa kebangsaan dalam kalangan pelajar, beliau turut menterjemahkan istilah-istilah teknikal dalam bahasa Melayu sebagai rujukan pembelajaran selain menulis banyak artikel ilmiah berkaitan dengan sains dan teknologi.

“Penghargaan ini amat bermakna buat saya khususnya kepada para pelajar, rakan-rakan warga KV Slim River.

Pengiktirafan ini akan saya jadikan semangat untuk terus memartabatkan bahasa kebangsaan,” ujar Dr Siva yang merupakan bekas jurutera.

Info Dekad Bahasa Kebangsaan (2020-2030)

- Dilancarkan pada tahun 2019

Tujuan:

- Memperkasakan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang mencakupi pelbagai bidang dan sektor di Malaysia.

- Memperkasa perancangan dan pemupukan bahasa Melayu tinggi dan membentuk tamadun bangsa Malaysia yang berbudaya dan berakhlak mulia.

- Merealisasikan bahasa Melayu sebagai wadah pembangunan negara.

- Mengantarabangsakan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa utama ASEAN dan menjadikan Malaysia sebagai pusat persuratan Melayu terulung di dunia