Gempur penghisap rokok, vape

Dari kiri: Dr Tan, Dr Nor Azimi, Tun Ahmad Faisal dan Mohd Huzairil mematahkan rokok sebagai gimik larangan merokok di tempat makan di sini hari ini.
Dari kiri: Dr Tan, Dr Nor Azimi, Tun Ahmad Faisal dan Mohd Huzairil mematahkan rokok sebagai gimik larangan merokok di tempat makan di sini hari ini.
A
A
A

MARANG - Seramai 224 penguat kuasa kesihatan di Terengganu sudah bersiap sedia untuk 'menggempur' individu yang menghisap rokok dan vape di premis makanan bermula 1 Januari ini.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, tempoh setahun penguatkuasaan pendidikan telah dilaksanakan dan bermula tahun depan, mereka yang masih melakukan kesalahan itu akan dikenakan kompaun.

Menurutnya, dalam siri penguatkuasaan pendidikan, pihaknya telah melawat 4,661 premis bermula Januari hingga 17 November lalu bagi memastikan pematuhan larangan merokok di semua tempat makan di seluruh daerah di negeri ini.

"Hasil daripada pemeriksaan yang dilakukan, boleh dikatakan hampir semua daripadanya patuh kepada larangan itu termasuk daripada segi pemasangan papan tanda dan sebagainya.

"Program hari ini (semalam) kita cuba beritahu kepada masyarakat sekali lagi, bahawa bermula 1 Januari 2020, penguatkuasaan akan kita laksanakan. Pada masa itu, seolah-olah tiada maaf bagimu sebab kita telah berkempen selama setahun dan sekiranya masyarakat masih lagi merokok di premis makanan sebagaimana diwartakan, kita akan kompaun," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Mini Pelancaran 'Educational Enforcement' Larangan Merokok Di Kedai Makan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 dan Program Marang Sihat anjuran bersama Pejabat Daerah Marang dan Pejabat Kesihatan Daerah Marang di sini hari ini.

Turut hadir, Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak; Yang Dipertua Majlis Daerah Marang, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim dan Pegawai Kesihatan Daerah Marang, Dr Tan Sin Yaw.

Mengulas lanjut, Nor Azimi berkata, mereka yang melakukan kesalahan itu akan dikenakan denda RM250 namun boleh dikurangkan ke RM150 jika denda itu dibayar dalam tempoh kurang dari sebulan.

Artikel Berkaitan:

"Mereka juga boleh dikenakan saman maksimum hingga RM10,000 jika gagal dan enggan membayarnya.

"Kita akan adakan pemeriksaan di tempat makan secara berkala selepas ini dan jika ada yang masih tidak patuh kepada larangan merokok di tempat makan, kompaun akan dikenakan terus, tiada maaf," katanya.