Rokok, vape: Kenakan cukai atau haramkan terus

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KERAJAAN perlu membuat satu keputusan yang tepat sama ada untuk mewujudkan generasi penamat (GEG) menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam atau terus mengutip pendapatan negara hasil daripada rokok elektronik.

Sebagai sebuah negara yang mengamalkan dasar terbuka, Putrajaya perlu tegas untuk memilih antara kesihatan rakyat atau pendapatan negara dengan mengenakan cukai kepada penjualan cecair untuk rokok elektronik atau vape pada kadar 40 sen setiap mililiter (ml).

Setakat tahun 2022, sebanyak 38 penyakit telah dilaporkan berkaitan dengan peranti kononnya alternatif kepada rokok berasaskan tembakau itu.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, daripada jumlah itu, Kementerian Kesihatan Malaysia mendapati 18 kes daripadanya membabitkan penyakit E-cigarette or Vaping Product Use Associated Lung Injury (Evali) yang membawa kepada kerosakan termasuk kebocoran pada paru-paru.

Akibat daripada itu, pesakit boleh mengalami kecacatan kekal pernafasan serta berisiko tinggi yang membawa kepada kematian dan kesan jangka panjang akan ditanggung kerajaan.

Kata Dr Zaliha, tanggungan kos perubatan dan kesihatan terhadap rakyat meningkat dan dianggarkan boleh mencecah RM150,000 bagi tempoh 12 hari kemasukan ke wad.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan menerusi notis warta Kerajaan Persekutuan mengumumkan bahawa kerajaan memperkenalkan cukai kepada penjualan cecair untuk rokok elektronik bermula 1 April lalu.

Bagi membolehkan cukai ini dilaksanakan, kerajaan telah mengeluarkan warta menyatakan nikotin termasuk tembakau, tampalan dan gula-gula getah, cecair dan gel nikotin kini dikecualikan daripada Akta Racun 1952.

Sebelum ini, nikotin, dengan pengecualian kepada tembakau, diklasifikasikan sebagai racun Kumpulan C yang hanya boleh dijual doktor dan ahli farmasi.

Walaupun kerajaan memperoleh pendapatan dengan pelaksanaan cukai ini, namun secara dasarnya pengunaan vape adalah berbahaya dan boleh menjejaskan kesihatan rakyat.

Sehubungan itu, kerajaan perlu membuat satu keputusan jangka panjang yang tepat dan terbaik untuk kesihatan rakyat.

Jika mahu wujudkan generasi penamat, haramkan terus penggunaan vape.