RUU Kawalan Produk Merokok perlu disegerakan - MCTC

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC) menggesa kerajaan segera membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023.

Presidennya, Dr Murallitharan Munisamy berkata, ia penting untuk memastikan rakyat Malaysia tidak terus dibelenggu dengan masalah itu dan matlamat negara bebas daripada amalan merokok 2040 dapat direalisasikan.

“Penggunaan tembakau telah lama memberikan kesan buruk terhadap kesihatan dan kesejahteraan rakyat negara kita. Ia tidak hanya memberi kesan kepada perokok tetapi mendedahkan mereka yang bukan perokok kepada bahaya asap rokok dan juga vape.

“RUU ini adalah peluang kita untuk mengurangkan krisis kesihatan awam ini, mengurangkan beban penyakit berkaitan merokok, dan mewujudkan Malaysia yang lebih sihat,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, penangguhan penguatkuasaan itu berpotensi meningkatkan jumlah penghisap rokok dan vape dalam kalangan kanak-kanak.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Datuk Dr Mohamad Ali Hassan berkata, pihaknya turut bimbang ketagihan nikotin akan menjurus kepada masalah penagihan dadah pada awal usia ekoran terdapat laporan cecair vape mengandungi campuran dadah.

Dalam pada itu, Murallitharan Munisamy berkata, pihaknya yakin kerajaan tidak akan mensia-siakan mandat yang diberikan oleh rakyat untuk memastikan RUU itu dibentangkan dan diluluskan dengan segera sewaktu sidang Dewan Rakyat akan datang.

Beliau turut menghargai kesudian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima petisyen di Parlimen yang mengandungi sokongan gabungan NGO dan lebih 9 juta rakyat terhadap RUU dan peruntukan Generasi Penamat pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

“Tahap sokongan yang luar biasa ini dari rakyat mencerminkan tekad kolektif rakyat untuk meningkatkan kualiti kehidupan dalam negara kita.

“Kami juga menggesa agar semua ahli Parlimen juga memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada RUU ini apabila dibentangkan kelak.

“Marilah kita bersatu dalam usaha ini untuk melindungi masyarakat dan memastikan masa depan yang lebih sihat dan cerah untuk generasi akan datang,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!