RUU Kawalan Merokok dirujuk JKPK Kesihatan Parlimen

 Dr Zaliha Mustafa. - Foto Bernama.
Dr Zaliha Mustafa. - Foto Bernama.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 akan dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan Parlimen untuk penelitan lanjut.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa mencadangkan perkara itu berdasarkan Peraturan 54 (1) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat supaya ia dirujuk kepada jawatankuasa itu bagi membuat syor-syor selain meneliti dasar Generasi Penamat (GEG) serta peruntukan berkaitan.

Dr Zaliha menjelaskan rang undang-undang itu adalah yang baharu selepas mengambil kira syor-syor perbincangan JKPK Kesihatan pada tahun 2022 dan pertambahan pindaan baharu terhadap dasar GEG.

"Berdasarkan sesi libat urus dengan JKPK Kesihatan pada 6 Jun lepas bersama Ahli Parlimen, badan profesional dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), terdapat permintaan agar beberapa perkara dilihat dan diperhalusi lebih lanjut.

"Justeru, KKM mencadangkan ia dirujuk kepada JKPK Kesihatan untuk penelitian lanjut selain jawatankuasa ini yang berfungsi sebagi mekanisme semak dan imbang dengan ambil kira pandangan semua pihak,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat selepas membentangkan rang undang-undang itu bagi bacaan kali pertama, di sini pada Isnin.