Latihan Ex-Ganjar: Wanita hamil antara sembilan tebusan diselamatkan

Aksi memukau dipamerkan anggota UTK PDRM ketika menyelamatkan tebusan menerusi demonstrasi Latihan Ops Ex-Ganjar di Pelabuhan Klang pada Rabu. - Foto Sinar Harian/MOHD HALIM ABD WAHID
Aksi memukau dipamerkan anggota UTK PDRM ketika menyelamatkan tebusan menerusi demonstrasi Latihan Ops Ex-Ganjar di Pelabuhan Klang pada Rabu. - Foto Sinar Harian/MOHD HALIM ABD WAHID
A
A
A

KLANG - Seorang wanita mengandung parah manakala lapan lagi individu cedera ringan akibat ditawan sekumpulan individu dipercayai kumpulan pengganas dari negara jiran dalam kejadian di Pelabuhan Klang di sini, pada Rabu.

Kumpulan pengganas yang menggelarkan diri mereka sebagai Al Sabbab itu meminta pihak berkuasa menyediakan sejumlah wang tebusan sebanyak AS$50 juta selain sebuah helikopter bagi membawa mereka keluar dari situ.

Situasi cemas yang berlaku kira-kira tiga jam itu bagaimanapun berjaya diselesaikan apabila kumpulan pengganas terlibat berjaya ditahan selain semua mangsa diselamatkan oleh pihak Unit 69 Komando (VAT 69) serta Unit Tindakan Khas (UTK) Polis Diraja Malaysia.

Itu antara situasi yang dipaparkan menerusi demonstrasi Latihan Ops Ex-Ganjar di Pelabuhan Klang di sini, pada Rabu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, latihan diadakan melibatkan simulasi serangan kumpulan pengganas dan kesiapsiagaan diambil agensi berkaitan dalam menangani situasi itu.

Hussein
Hussein

"Selangor mempunyai beberapa lokasi penting dan strategik yang mana mempunyai pelabuhan dan lapangan terbang.

"Eksesais ini dijalankan untuk menguji kebersediaan kita dalam menghadapi situasi mencabar ini selain melihat beberapa aspek penting terutama melibatkan koordinasi antara agensi terlibat," katanya dalam sidang akhbar Latihan Ops Ex-Ganjar di Pelabuhan Klang di sini, pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, setakat ini tiada sebarang ancaman dikesan terutama melibatkan aspek keselamatan di negeri ini.

"Biarpun begitu, kita harus tidak leka dan masa sama perlu mengambil contoh apa yang berlaku di negara lain.

Antara tebusan yang ditawan kumpulan pengganas. - Foto Sinar Harian/MOHD HALIM ABD WAHID
Antara tebusan yang ditawan kumpulan pengganas. - Foto Sinar Harian/MOHD HALIM ABD WAHID

"Ini bukan bermaksud kita meminta apa yang berlaku di luar itu terjadi di sini namun tahap kesediaan itu perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa," katanya.

Ops Ex-Ganjar anjuran Majlis Keselamatan Negara Selangor, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dijalankan dengan kerjasama Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), Northport dan Westports bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Negara (Keselamatan Strategik), Datuk Baharuddin Ahmad dan Exco Pengurusan Bencana, Mohd Najwan Halimi.

Latihan dijalankan bermula kira-kira jam 10 pagi itu melibatkan situasi antaranya operasi menyelamat di laut, insiden keganasan dan operasi menyelamat tebusan.