Wanita PKR masih runding lapan kerusi PRN Selangor

Juwairiya
Juwairiya
A
A
A

SHAH ALAM - Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) masih berunding dengan kepimpinan tertinggi parti itu untuk bertanding lapan kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

Timbalan Ketua Wanita PKR, Juwairiya Zulkifli berkata, rundingan mengenai kuota calon peringkat sayap itu dibincangkan Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek bersama kepimpinan tertinggi parti berkenaan.

"Di peringkat Majlis Pimpinan Wanita PKR telah bersetuju meletakkan lapan calon di PRN Selangor dan kita berharap pucuk pimpinan memberi pertimbangan," katanya ketika ditemui pada Khamis.

Juwairiya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati berkata, kewibawaan calon wanita PKR terserlah apabila berjaya memenangi enam kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

"Daripada enam penyandang ini, kita minta tambahan dua lagi kerusi baharu untuk ditandingi calon wanita PKR.

"Kali ini mungkin ada pertukaran kerusi (calon wanita PKR) kerana tidak semestinya DUN dimenangi mereka (PRU14 ) kekal dengan harapan kuota ini dapat ditingkatkan dan bukan berkurangan," jelas beliau.

Tambah beliau, wanita PKR mempunyai ramai calon berkredibiliti dan bersedia untuk diletakkan sebagai calon.

"Kita yakin boleh menyediakan calon berkaliber untuk lapan kerusi ini dan berharap kepimpinan negeri dan juga pusat dapat mempertimbangkan," tambahnya.

Mengulas mengenai kesediaan beliau mempertahankan DUN Bukit Melawati, Juwairiya berkata, setakat ini fokus beliau mahu memastikan kerusi itu kekal milik PKR.

"Saya bersedia mempertahankan DUN Bukit Melawati lebih-lebih lagi nampak perubahan positif dan bertambah baik apabila Kerajaan Perpaduan dimeterai.

"Saya yakin dapat meyakinkan pengundi dalam PRN Selangor dan bersedia untuk terus berkhidmat," jelasnya.

Menurut beliau, masih banyak perancangan yang belum selesai dan tertangguh akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kita rugi dua tahun (akibat PKP) kerana tidak dapat melaksanakan sebarang pembangunan, infrastruktur dan projek yang tujuannya meningkatkan taraf hidup rakyat.

"Sebenarnya hanya tiga tahun yang kita dapat buktikan hasil kerja dan sumbangan kepada rakyat disebabkan PKP.

"Saya percaya jika lima tahun atau diberi satu penggal lagi lebih banyak limpahan manfaat yang akan dirasai penduduk," ujarnya.

Sinar Harian pada 10 Jun lalu melaporkan, wanita PKR menyasarkan seramai lapan calon wanita diketengahkan untuk bertanding mewakili parti itu pada PRN Selangor.