KPM cadang perkenal TVET di sekolah integriti

Fadhlina (kanan) berbual dan bertanya sesuatu kepada salah seorang guru semasa melawat kelas di Sekolah Integriti Pusat Koreksional Puncak Alam, di sini pada Rabu.
Fadhlina (kanan) berbual dan bertanya sesuatu kepada salah seorang guru semasa melawat kelas di Sekolah Integriti Pusat Koreksional Puncak Alam, di sini pada Rabu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bercadang memperkenalkan program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di semua 11 sekolah integriti Jabatan Penjara Malaysia di seluruh negara.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, penambahan program TVET di sekolah banduan muda itu mampu memberikan nilai tambah dan meningkatkan produktiviti pelajar selain mempunyai prospek masa depan lebih cerah.

Bagaimanapun, katanya, cadangan itu perlu dibincangkan di peringkat kementeriannya terlebih dahulu.

"Hasil perbincangan di peringkat KPM ini seterusnya dibawa ke mesyuarat Kabinet bagi memperluaskan TVET di sekolah integriti ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Penutupan Program Hijrah Kasih Kali ke-13 di Sekolah Integriti Pusat Koreksional Puncak Alam, di sini pada Rabu.

Ditanya mengenai kemungkinan terdapat isu kekurangan guru di sekolah integriti, Fadhlina mengakui perkara itu, namun menjelaskan ia tidaklah kritikal.

Beliau memberitahu, kementeriannya sentiasa berusaha untuk memastikan masalah kekurangan guru di sekolah terbabit diatasi segera.

"Contohnya di (Sekolah Integriti) Sungai Petani tempoh hari, mereka memaklumkan terdapat kekurangan guru dan pihak kementerian terus melakukan temu duga bagi pengambilan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Proses (temu duga) tersebut dilaksanakan oleh pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP)," jelas beliau.

Dalam pada itu, katanya, beliau turut berpuas hati dengan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di seluruh sekolah integriti terbabit.

Beliau memberitahu, pada tahun lalu sahaja, seramai 86 pelajar sekolah integriti seluruh negara yang menduduki SPM meraih pencapaian lulus 100 peratus dengan keputusan minimum 5A dan maksimum 7A.

"Kita harap kejayaan ini dapat diterjemahkan dalam peperiksaan akan datang dengan tumpuan diberikan kepada pengupayaan guru dan latihan serta penumpuan kepada penghuni yang akan mengambil peperiksaan," tambahnya.