Peruntukan RM168.7 juta atasi kesesakan di Tambak Johor

Saifuddin (dua dari kiri) meninjau keadaan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) pada Rabu.
Saifuddin (dua dari kiri) meninjau keadaan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Persekutuan meluluskan RM168.7 juta bagi melaksanakan empat inisiatif baharu untuk menangani kesesakan di Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura (SecondLink).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pelaksanaan empat inisiatif itu merangkumi tiga projek fizikal selain pemberian insentif pintu masuk kepada pegawai Imigresen pelbagai gred yang bertugas di pintu masuk negeri ini.

"Peruntukan RM168.7 juta itu termasuk untuk membina tambahan 77 laluan M-BIKE dengan kos keseluruhan sebanyak RM61.7 juta merangkumi 44 laluan M-BIKE di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di Tambak Johor dan 33 laluan M-BIKE di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Iskandar Puteri.

"Ia juga membabitkan penggabungan dewan, naik taraf dan pembinaan projek baharu di KSAB berjumlah RM106.9 juta membabitkan tiga projek Fasa 2 yang diluluskan Mac lalu.

"Pembinaan pejalan kaki berbumbung di sepanjang Tambak Johor juga akan dilaksanakan dengan anggaran kos yang akan diperincikan kemudian," katanya.

Beliau berkata dalam sidang akhbar secara dalam talian selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Bagi Menangani Kesesakan di Tambak Johor di Bilik Mesyuarat Gambir, BSI di sini pada Rabu.

Sebelum itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengadakan lawatan ke CIQ BSI.

Mengulas lanjut, mengenai insentif pintu masuk kepada pegawai imigresen, Fadillah berkata, langkah tersebut dilakukan bagi menjaga kebajikan anggota dan selari dengan konsep ihsan di bawah kerangka Malaysia Madani.

Artikel Berkaitan:

"Perbincangan lanjut akan diadakan bagi memperhalusi perkara ini bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk peluasan pemberian insentif kepada pegawai imigresen di Sabah dan Sarawak.

"Pemberian insentif pintu masuk kepada pegawai Imigresen pelbagai gred bukan sahaja akan diberikan kepada pegawai bertugas di pintu masuk di BSI dan KSAB malah turut membabitkan pegawai bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA1) dan KLIA2," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, jumlah pengembara yang memasuki negara ini melalui laluan darat Malaysia-Singapura dijangka akan meningkat pada kadar 15 peratus setahun.

"Dianggarkan seramai 157 juta pengembara akan melalui kedua-dua pintu masuk di Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura di Iskandar Puteri, menjelang 2025.

"Ini berdasarkan statistik, jumlah pengembara di kedua-dua CIQ BSI dan KSAB adalah seramai 71 juta pada tahun lalu.

"Namun, sehingga September lalu, jumlah pengembara di kedua-dua CIQ berkenaan telah mencapai 98 juta dan dijangka akan terus meningkat kepada sekitar 136 juta pada penghujung tahun ini, menyamai statistik pada 2019 (pra Covid-19)," katanya.