Tikam isteri: Bekas tentera berdepan hukuman gantung

Tertuduh yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kangar berdepan hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan menikam maut isterinya pada 30 September lalu.
Tertuduh yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kangar berdepan hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan menikam maut isterinya pada 30 September lalu.
A
A
A

KANGAR - Seorang bekas tentera yang dihadap ke Mahkamah Majistret Kangar berdepan hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan menikam isterinya yang juga seorang jururawat sehingga maut di sebuah rumah di Jalan Padang Nyu, Arau pada 30 September lalu.

Tertuduh, Indera Zailan Mohamad Sani, 38, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Siti Nor Haliza Md Ali pada Rabu.

Namun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah melakukan perbuatan tersebut di sebuah rumah di Jalan Padang Nyu, Arau pada 29 September jam 10 malam hingga 30 September jam 6.55 pagi.

Dia telah didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 302 kanun keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum dengan hukuman gantung sampai mati atau penjara selama tempoh tidak kurang dari tiga puluh tahun dan tidak lebih dari empat puluh tahun dan hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang dari dua belas sebatan jika tidak dihukum dengan hukuman mati.

Kes telah dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Ashraf Md Kamal dan Mohd Izham Ali, manakala tertuduh pula telah diwakili peguam, Hari Prassaad Rao.

Hakim kemudian menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 17 November hadapan di mahkamah yang sama sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi termasuk menunggu laporan kimia dan laporan bedah siasat.

Artikel Berkaitan:

Pada 30 September lalu, Sinar Harian melaporkan seorang pesara tentera menyerah diri di pondok pengawal Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis selepas menikam isterinya hingga maut dipercayai akibat cemburu.

Mangsa, Munirah Abu Bakar, 31, merupakan seorang jururawat Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar meninggal dunia selepas ditikam dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi.