Masyarakat dunia digesa bangkit hentikan penindasan rakyat Palestin

Mohd Azmi Abdul Hamid
Mohd Azmi Abdul Hamid
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Perundingan Islam Malaysia (Mapim) menggesa masyarakat dunia tidak berdiam diri melihat keganasan yang dilakukan rejim Israel dan sekutunya Amerika Syarikat (AS) terhadap rakyat Palestin ketika ini.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, semua pihak perlu bangkit bertindak bagi menghentikan penindasan yang dilakukan rejim berkenaan terhadap penduduk khususnya di Semenanjung Gaza sejak sekian lama.

"Kami mengecam AS kerana memberi amaran kepada negara lain untuk tidak mengambil bahagian dalam konflik itu namun mereka (AS) adalah satu-satunya negara yang kini terlibat secara langsung.

"Mereka (AS) telah mengerahkan jet pejuang sebagai tambahan kepada berjuta-juta peluru kepada Israel untuk meningkatkan serangannya ke atas Gaza dan Tebing Barat.

"Kami mengutuk tindakan, atas alasan memperjuangkan hak asasi manusia dan negara demokrasi di barat seperti Perancis, Jerman, United Kingdom (UK) dan Kesatuan Eropah yang telah mengumumkan sokongan kepada Israel. Tindakan berat sebelah dan hiprokrat ini adalah jelas," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kementerian Kesihatan Palestin berkata, sekurang-kurangnya 413 rakyat Palestin telah terbunuh manakala 2,300 lagi cedera ketika serangan Israel di Semenanjung Gaza memasuki hari kedua pada Ahad

Sementara itu, Mohd Azmi berkata, pihaknya turut mengecam sekeras-kerasnya tindakan Presiden AS, Joe Biden atas sokongan tidak berbelah bahagi kepada Israel berhubung serangan ke atas Palestin dengan alasan memperjuangkan hak asasi manusia.

Beliau menegaskan, Israel dan AS merupakan pengganas dunia yang sebenar.

Artikel Berkaitan:

"Kami mengulangi Israel dan AS adalah pengganas dunia. Jangan silap, apa yang dipertontonkan oleh pejuang kebebasan Hamas sekarang ialah perjuangan untuk pembebasan, kebenaran, maruah dan keadilan menentang penjajahan, kejahatan, penindasan terhadap keganasan tajaan AS oleh Israel," katanya.