RoS gantung pendaftaran MTUC

Notis yang dikatakan dikeluarkan RoS pada 13 Disember lalu. (Gambar kecil: J Solomon)
Notis yang dikatakan dikeluarkan RoS pada 13 Disember lalu. (Gambar kecil: J Solomon)
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) dilapor menggantung pendaftaran Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) pada 13 Disember lalu.

Notis penggantungan tersebut ditandatangani oleh Pendaftar Pertubuhan, Nurul Azhar Husin pada tarikh berkenaan.

Menerusi notis itu, pendaftaran MTUC mungkin akan dibatalkan jika pertubuhan itu gagal mengemukakan sebab memuaskan kepada RoS.

Bagaimanapun notis itu tidak menyatakan kesalahan atau pelanggaran peraturan dilakukan MTUC.

“Satu kenyataan sebelum pendaftaran, dibatalkan telah dikeluarkan pada 13 Disember lalu oleh pendaftar pertubuhan dengan maksud hendak membatalkan pendaftaran pertubuhan dengan nama tersebut di atas (MTUC) kecuali sebab-sebab memuaskan dikemukakan kepada RoS.

"Bagi menjaga kepentingan namanya yang disebut di atas daripada terus melanggar peraturan pertubuhan, maka diperintahkan semua kegiatan pertubuhan ini digantung mulai tarikh perintah ini,” mengikut notis berkenaan.

Bagaimanapun pihak MTUC ketika dihubungi menafikan menerima salinan notis penggantungan pendaftaran itu malah tidak mengetahui kewujudan surat berkenaan kecuali melalui aplikasi WhatsApp.

Setiausaha Agung MTUC, J Solomon berkata, pihaknya perlu menyiasat perkara itu terlebih dahulu sebelum dapat mengeluarkan sebarang kenyataan kerana pihaknya masih belum menerima maklumat lengkap.

Artikel Berkaitan:

"Kami sebenarnya tak terima apa-apa surat pun dari RoS. Saya tak tahu (kewujudan surat itu) sebab kami terima melalui kumpulan WhatsApp dan diviralkan.

"Kami juga tidak terima apa-apa (notis) pun, jadi perkara ini perlu disiasat terlebih dahulu, apa sebenarnya yang berlaku," katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, ketika ditanya sebab-sebab tertentu pihaknya menerima notis tersebut, beliau tidak dapat mengulas lanjut sambil menegaskan ia masih dalam siasatan MTUC.

"Saya pun tak tahulah, kita kena siasat dahulu. Kenapa perkara seperti ini berlaku dan kita sendiri tidak dimaklumkan. Saya tidak dapat mengulas lanjut kerana masih tiada maklumat," tambahnya.