Peniaga disamun, pisau diacu di perut

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang peniaga di Kampung Kubang Parit di sini melalui detik cemas apabila diacu pisau di perut oleh dua penyamun kelmarin.

Bukan itu sahaja, lelaki berusia 35 tahun itu turut terpaksa menanggung kerugian RM100 selepas bekas berisi wang tunai tersebut dilarikan dua suspek tidak dikenali masing-masing bersenjatakan pisau dalam kejadian jam 1.45 pagi.

Menurut sumber, kejadian berlaku ketika mangsa sedang menunggang motosikal berseorangan dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah sebelum dihampiri dua suspek yang datang dari arah belakang.

"Kedua-dua lelaki itu yang menaiki motosikal jenis Honda Dash Repsol bertindak menahan mangsa sebelum merampas kunci motosikal.

"Selepas itu, salah seorang daripada suspek bertindak mengacukan pisau di perut mangsa manakala rakannya pula mengambil satu bekas berisi wang tunai yang diletakkan di dalam raga motosikal.

"Sebelum beredar, suspek membuang kunci motosikal mangsa dan laporan polis dibuat di Balai Polis Chabang Tiga pada hari yang sama," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi semalam mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian.

Katanya, identiti suspek sedang dikenalpasti dan usaha mencari mereka sedang giat dijalankan.

Artikel Berkaitan:

"Kes berkenaan sedang disiasat mengikut Seksyen 395/ 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan menggunakan senjata," katanya.