X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan Johor digesa atasi banjir kilat di Kampung Melayu Pandan

Tuan Peng (belakang, tengah) bergambar bersama penerima bantuan barangan kelengkapan sekolah di Pasaraya Econsave Permas Jaya di sini hari ini.
A
A

PASIR GUDANG - Kerajaan Johor diminta untuk menyatakan pendirian bagi mengatasi masalah bencana banjir kilat di Kampung Melayu Pandan dan Jalan Tebrau di sini.

Ketua MCA Bahagian Pasir Gudang, Tan Tuan Peng berkata, tuntutan itu dibuat berikutan tiada sebarang tindakan susulan yang telah diambil sehingga kini meskipun keadaan itu dilihat semakin serius setiap tahun.

Menurutnya, kerajaan Johor seharusnya sudah mempunyai perancangan daripada sekarang memandangkan usaha untuk menyelesaikan isu berkenaan diakui akan mengambil tempoh yang panjang.

“Masalah yang berlaku di kawasan itu (Kampung Melayu Pandan) adalah keadaan penempatan padat, tidak tersusun dan tidak mempunyai sistem akses keluar masuk air sungai yang relevan. Itu yang bila bila hujan lebat, air Sungai Pandan ini tidak boleh mengalir dengan betul sekali gus mengakibatkan limpahan air.

“Dalam tempoh beberapa tahun ini, limpahan air yang berlaku dilihat menjadi lebih serius sehingga mengalir ke Jalan Tebrau. Ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana itu adalah laluan awam dan ramai peniaga yang membuka kedai di sana.

“Jadi saya mahu kerajaan terangkan kepada rakyat apa langkah yang mereka boleg ambil, buat sekarang kerana usaha ini memakan masa yang panjang dan mustahil diselesaikan dalam tempoh dua ke tiga tahun sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian pada Program Kembali ke Sekolah Gerakan Belia 4B Pasir Gudang di Pasaraya Econsave Permas Jaya di sini hari ini.

Pada program itu, Tuan Peng yang juga Penaung II Gerakan Belia 4B Pasir Gudang itu sempat meluangkan masa bersama 20 penerima sumbangan yang terdiri daripada keluarga kurang berkemampuan di daerah ini.

Tuan Peng berkata, kerajaan juga seharusnya memainkan peranan untuk mencari lebih banyak jalan penyelesaian berhubung isu terbabit memandangkan perancangan untuk membangunkan kawasan itu sudah dirangka kerajaan terdahulu.

“Perancangan kerajaan dulu (BN), kita mahu pindahkan penduduk di sini, dan betulkan semula penempatan ini dengan kaedah lebih sistematik dengan sistem lebih efisien, ia memang sudah dibincangkan sebelum ini.

“Jadi saya minta, jika tidak mahu dengan perancangan kerajaan lama, fikirkan cara baru atau tambah baik lagi, kita tidak mahu disebabkan kerajaan terlalu perlahan, rakyat yang perlu menanggung,” katanya.

Difahamkan sebahagian besar iaitu lebih 200 rumah di Kampung Melayu Pandan itu mempunyai geran tanah yang sah dan merupakan antara penduduk terawal di bandar raya ini.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!