IPT diseru jalin kerjasama dengan universiti negara Islam

Dr Maszlee berucap dalam Sesi Khas bertajuk 'Mengapa Pendidikan Kunci Pembangunan Negara' bersempena Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini. - Foto Bernama
Dr Maszlee berucap dalam Sesi Khas bertajuk 'Mengapa Pendidikan Kunci Pembangunan Negara' bersempena Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Institusi pendidikan tinggi di Malaysia diseru menjalinkan kerjasama dengan universiti-universiti negara Islam termasuk mewujudkan kolaborasi dengan pihak industri dan pembuat polisi bagi meningkatkan keupayaan dan kebolehpasaran para graduan.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, kerjasama itu bukan hanya melibatkan bidang sains dan teknologi tetapi juga pelbagai sektor iaitu merangkumi konsep nilai kemanusiaan yang mampu membawa agen perubahan besar kepada pembangunan masyarakat.

"Kita mahu institusi pendidikan tinggi menjadi perubahan masyarakat dan global dan sebab itu, saya mengutarakan cadangan agar para pengkaji dan profesor terutamanya terlibat dalam dunia akademik untuk membuat kolaborasi bersama universiti antarabangsa tersohor.

"Selain itu, universiti diingatkan agar dapat menghasilkan kajian yang impaknya dapat memberi kesan kepada negara dan global serta pembangunan masyarakat," katanya ketika ditemui selepas menjadi panelis dalam Sesi Khas bertajuk 'Mengapa Pendidikan Kunci Pembangunan Negara' bersempena Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Terdahulu, Maszlee dalam ucapannya berkata, dunia Islam perlu kembali kepada konsep Tajdid dan Islah di dalam ilmu pengetahuan dengan sentiasa memberi penekanan kepada penambahbaikan dan menstruktur kembali sistem pendidikan tinggi.

Sehubungan itu, beliau menggariskan beberapa aspek yang perlu difokuskan berdasarkan kedua-dua konsep tersebut seperti mana digagaskan dalam al-Quran dan al-Sunnah iaitu mencapai kemajuan menerusi bimbingan wahyu dan nilai kemanusiaan.

Katanya, perkara utama adalah meletakkan perubahan berterusan menerusi keseimbangan ilmu dunia dan ukhrawi terhadap kurikulum institusi pendidikan.

Maszlee juga menggesa agar sistem pendidikan perlu berubah selaras kehendak Revolusi Perindustrian 4.0 dengan kurikulum direka berdasarkan kandungan digital di samping keperluan merangka kaedah pengajaran pedagogi yang menarik.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, sistem pendidikan pada masa depan mesti direka dalam bentuk bukan sahaja untuk belajar tetapi untuk berfikir namun sistem hari ini dijangka menghasilkan bakat yang boleh berfikir, menyesuaikan diri dengan perubahan dan kemampanan pemikiran dalam era terkini.

"Malah etika dalam pendidikan penting untuk memastikan minda graduan tidak lahir daripada pengetahuan yang rosak dan melindungi pemikiran para pendidik dan pelajar," katanya.