Dua beranak naik Kelisa ke Syria, beri bantuan musim sejuk

Nursulhi (kiri) bersama anaknya merakamkan gambar kenangan di hadapan sebuah bangunan yang menjadi tarikan pelancong di Pakistan.
Nursulhi (kiri) bersama anaknya merakamkan gambar kenangan di hadapan sebuah bangunan yang menjadi tarikan pelancong di Pakistan.
A
A
A

Turki - Pengembaraan dua beranak menuju ke Benua Eropah dengan menaiki Perodua Kelisa berjaya membuktikan bahawa kereta tempatan berkemampuan merentasi benua dan sempadan negara.

Nursulhi Rahim, 42, dari Pulau Sebang, Melaka memulakan pengembaraan bersama anak sulungnya, Muhammad Aidil, 14, dalam misi Road For Ummah 2019 untuk membawa mesej keamanan dan menyampaikan bantuan musim sejuk ke Syria merentasi benua menuju Eropah sejak 1 November lalu.

Lebih dikenali sebagai Along, Nursulhi dan anaknya kini sudah menelusuri perjalanan sejauh 13,720 kilometer (km) bermula dari Pulau Sebang sehingga ke Bayramic dengan Perodua Kelisa yang berusia kiri-kira 15 tahun tanpa sebarang masalah.

Perodua Kelisa yang digunakan dua beranak tersebut bagi menghantar bantuan ke Syria telah membuktikan bahawa kereta tempatan berkemampuan untuk merentasi benua dan sempadan negara.
Perodua Kelisa yang digunakan dua beranak tersebut bagi menghantar bantuan ke Syria telah membuktikan bahawa kereta tempatan berkemampuan untuk merentasi benua dan sempadan negara.

“Kami telah pun tiba di Turki setelah melalui liku-liku di sepanjang perjalanan merentasi Thailand, Myanmar, India dan Iran dan dalam menjaga kereta, saya hanya menjaga kereta sepertimana di Malaysia.

“Perkara asas seperti menukar minyak enjin, menukar 'pad' brek dan sebagainya dilakukan apabila perlu. Pemanduan dilakukan pada kelajuan 80 ke 100 kilometer sejam (km/j) sahaja agar tidak membebankan kereta tersebut.

“Bila di kawasan di Myanmar, India di mana jalannya teruk dengan lubang-lubang sana sini, di situ dengan bebanan kereta, saya pandu 30 hingga 40 km/j. Saya mengambil keputusan mengembara bersama anak saya kerana ini masa yang sesuai untuk kami meluangkan masa bersama sambil menerokai budaya negara luar,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi di sini hari ini.

Nursulhi yang juga duta Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan mewakili agensi tersebut membawa bantuan ke Syria berkata, promosi dilakukan menerusi Facebook sebelum ini berjaya mengumpul dana untuk Mapim memberikan bantuan kepada rakyat Syria yang terjejas ekoran cuaca sejuk.

Artikel Berkaitan:

Misi Road For Ummah 2019 untuk menyampaikan bantuan musim sejuk ke Syria merentasi benua menuju Eropah sejak 1 November lalu.
Misi Road For Ummah 2019 untuk menyampaikan bantuan musim sejuk ke Syria merentasi benua menuju Eropah sejak 1 November lalu.

Beliau turut berharap misi tersebut mampu membuka mata masyarakat agar terus membantu misi kemanusiaan.

“Pengalaman sepanjang pengembaraan ini sebenarnya membuka mata agar kita bersyukur dengan keamanan yang dinikmati rakyat Malaysia kerana masih ramai yang memerlukan ihsan untuk meneruskan kehidupan.

“Rakyat Malaysia yang berkesempatan, pergilah mengembara kerana kita bukan saja mampu mengenali diri sendiri tetapi dapat menghargai kesenangan yang dikecapi dan saya berharap agar menjadi tauladan dan contoh yang baik kepada generasi akan datang supaya keluar mengembara melihat dunia dan mengenal diri,” katanya.

Tambahnya, kembara itu turut disertai kira-kira lima kumpulan rakan lain dalam kumpulan 'We Are Malaysian' di mana masing-masing mempunyai destinasi berlainan.

"'We Are Malaysian' sebenarnya ada perjalanan penceritaan kasih sayang antara sahabat, anak, masyarakat dan jati diri negara Malaysia tercinta,” katanya yang akan meneruskan perjalanan menuju ke Eropah beberapa hari lagi.

Penghujung Benua Asia disebelah bahagian barat..

Posted by Aimpro Samudra on Saturday, December 14, 2019