PH tiada parti dominan

Jimmy Puah Wee Tse
Jimmy Puah Wee Tse
A
A
A

JOHOR BAHRU - Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse menyangkal dakwaan tentang segala keputusan sama ada di peringkat kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri perlu restu atau persetujuan daripada DAP.

Menurutnya, perkara itu, tidak benar sama sekali kerana semua parti di dalam PH mengamalkan semangat konsensus.

"Dengan semangat konsensus inilah tertubuhnya Majlis Presiden PH, malah keputusan memilih Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi PH dan perdana menteri adalah keputusan bersama, bukannya atas kehendak DAP," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Khairul Faizi Ahmad Kamil tentang DAP menguasai dalam PH.

Jimmy berkata, PH bukan seperti Umno yang menguasai BN atau Pas yang menguasai Gagasan Sejahtera.

"Di dalam PH, tidak ada parti yang boleh menguasai parti lain atau menjadi dominan.

"Sebagai contoh, walaupun PKR berjaya memperolehi kerusi terbanyak di peringkat Persekutuan pada PRU14 lalu, itu tidak bermakna PKR boleh buat keputusan tanpa adakan perbincangan dengan DAP, Amanah dan Bersatu," katanya.

Katanya lagi, semangat konsensus, kerjasama dan saling hormat menghormati ini tidak terhad hanya di peringkat Persekutuan atau di peringkat negeri.

Artikel Berkaitan:

"Sebaliknya, peringkat kawasan juga kita akan adakan perbicangan sekiranya ingin melaksanakan apa jua program atau ingin buat sesuatu keputusan.

"Ini juga salah satu faktor kita boleh menang pada PRU lalu, adalah atas semangat kerjasama erat dan saling hormat menghormati di dalam PH.

"Mana mungkin kita akan menang jika ada parti berhasrat ingin mendominasi, sudah pasti kita akan kalah kerana tidak wujud persefahaman dan sering bertelagah," katanya.