PGA rampas 160 kambing Boer, lapan lembu seludup dari Thailand

Kambing jenis Boer yang dirampas di Cabang Empat, Tumpat. Gambar kecil: Azhari
Kambing jenis Boer yang dirampas di Cabang Empat, Tumpat. Gambar kecil: Azhari
A
A
A

RANTAU PANJANG - Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan mematahkan aktiviti menyeludup membabitkan nilai kira-kira RM476,000 dalam empat serbuan berasingan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand semalam dan hari ini.

Antara yang dirampas dalam serbuan tersebut ialah 160 ekor kambing Boer jantan, lapan ekor lembu, 450 kilogram (kg) beras dan 3,600kg ayam sejuk beku.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7 Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, dalam serbuan jam 6.27 petang semalam, pihaknya merampas 160 ekor kambing Boer dalam sebuah lori dan menahan dua lelaki di hadapan stesen minyak di Chabang Empat Tok Mek Ngah, Tumpat.

"Dalam serbuan di Kuala Jambu, Tumpat pula, kami merampas lapan ekor lembu dalam sebuah lori dan menahan pemandu lori tersebut yang berusia 30 tahun.

Lembu yang berjaya dirampas di Kuala Jambu, Tumpat.
Lembu yang berjaya dirampas di Kuala Jambu, Tumpat.

"Terdahulu pada jam 1.48 petang semalam, kami berjaya merampas 450kg beras selepas menahan sebuah kereta Perodua Kenari di pangkalan haram Kampung Kolam Gelang Mas, Pasir Mas," katanya.

Beliau berkata, dalam serbuan jam 3.30 pagi hari ini, pihaknya berjaya merampas 3,600kg ayam sejuk beku dalam sebuah lori berhampiran Kampung Lemal, Pasir Mas.

Bagaimanapun katanya, pemandu lori berkenaan bertindak melarikan diri ke dalam semak berhampiran.

Artikel Berkaitan:

Lori yang digunakan untuk menyeludup kambing.
Lori yang digunakan untuk menyeludup kambing.

Azhari berkata, meskipun kawasan sempadan negara sedang dilanda banjir, pihaknya tetap komited dalam melaksanakan tugas.

“Kawasan sempadan akan terus diperketatkan bagi memastikan jenayah lintas sempadan berjaya dibanteras,” katanya.