Harung banjir paras dada jam 3 pagi

Sebuah surau di kawasan Kampung Kusial turut dinaiki air.
Sebuah surau di kawasan Kampung Kusial turut dinaiki air.
A
A
A

TANAH MERAH - Hati hanya mahu sampai cepat-cepat sebab air sangat laju, cerita Nor Hayati Che Kob, 47, yang berdepan situasi mendebarkan semasa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kulim, Tanah Merah, di sini.

Nor Hayati merupakan antara 15 mangsa yang dipindahkan ke PPS tersebut sejak kelmarin berikutan kenaikan air di kawasan kediaman mereka.

Menurutnya, air mula naik mendadak bermula jam 3 pagi dan mereka masing-masing sudah bersedia berpindah, mula keluar rumah jam 3.30 pagi menuju ke PPS terdekat.

"Pada mulanya saya intai depan rumah jam 1 pagi air masih di bawah tangga tapi bermula jam 3, keadaan menjadi tidak terkawal dan air semakin dalam menyebabkan kami mula bertindak keluar.

"Masa itu air depan rumah paras dada (1 meter). Saya harungi juga sehingga keluar kawasan sebab saya takut kalau kami tidak sempat untuk tunggu bantuan daripada agensi yang ada," katanya.

Sementara itu, Muhammad Hanif Othman, 16, dari Kampung Jerangau memberitahu, walaupun air tidak masuk ke dalam rumah hari ini, namun dia tetap menjenguk kediamannya itu bagi memastikan keadaan terkawal.

"Jiran-jiran pun tidak pindah sebab kami sudah biasa dengan keadaan ini cuma masing-masing kena berjagalah sebab takut ada binatang berbisa atau sebagainya.

"Rumah kami pun tinggi sikit, jadi kami berpindah ke atas jika air mula masuk ke dalam rumah. Semalam memang pindah atas, cuma hari ini luar rumah masih ada lagi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, tinjauan Sinar Harian di beberapa lokasi di Tanah Merah menyaksikan tiada pertambahan mangsa di PPS yang dibuka.

Kebanyakan mangsa yang ditemui memberitahu mereka bertindak keluar awal ke PPS bagi mengelak berlakunya sesuatu yang tidak diingini.

Sementara itu, Ketua Komander Operasi Bilik Gerakan Banjir Zon 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Nurul Alfisyahrin Mohd Zaki berkata, pihaknya maklum mengenai tindakan penduduk yang keluar ke PPS sendiri memandangkan keadaan air naik secara mendadak kelmarin.

Katanya, keadaan tersebut memaksa penduduk bertindak demikian memandangkan keadaan air yang sangat laju.

"Sebenarnya gelombang kedua ini air meningkat secara mendadak di waktu awal pagi.

"Peningkatan air tersebut berlaku disebabkan taburan hujan yang banyak melibatkan beberapa daerah seperti Machang, Jeli dan Tanah Merah sendiri.

"Cuma nasihat saya satu saja, mana-mana keluarga yang terlibat dalam kes kematian atau lemas, hubungi kami atau mana-mana agensi terlibat. Jangan bertindak sendirian kerana mungkin ia membahayakan mereka.

"Sama juga untuk perpindahan ke PPS, beritahu awal supaya kami boleh atur perjalanan dan selamatkan mereka dengan kekuatan agensi yang ada," katanya.