82 PPS di Johor ditutup hari ini

Jumlah mangsa banjir yang berlindung di PPS mula berkurangan berikutan keadaan banjir mula pulih.
Jumlah mangsa banjir yang berlindung di PPS mula berkurangan berikutan keadaan banjir mula pulih.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jumlah mangsa banjir di negeri ini yang masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) berkurangan kepada 1,468 orang daripada 375 keluarga pada sebelah petang berbanding 2,669 orang pagi tadi.

Exco Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon berkata, secara keseluruhan 82 PPS di seluruh negeri telah ditutup hari ini dan baki 25 PPS masih dibuka.

"Pada petang ini, Mersing yang sebelum ini terjejas teruk banjir menyaksikan tiada lagi PPS dibuka di daerah itu berikutan keadaan banjir sudah pulih.

"Baki sembilan PPS di daerah itu yang masih dibuka sebelum ini telah ditutup hari ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, seramai 1,468 orang daripada 375 keluarga masih ditempatkan di 25 PPS di lima daerah di negeri iaitu Kota Tinggi mencatat 452 orang daripada 137 keluarga ditempatkan di lima PPS.

"Segamat mencatatkan seramai 543 orang daripada 124 keluarga ditempatkan di 12 PPS manakala daerah Kluang seramai 233 mangsa daripada 65 keluarga dipindahkan ke tiga PPS.

"Di Pontian pula seramai 146 orang daripada 28 keluarga ditempatkan di dua PPS manakala di Batu Pahat seramai 94 orang daripada 21 keluarga ditempatkan di tiga PPS," katanya,

Terdapat empat laluan di Mersing dan Segamat yang terputus hubungan dan ditutup kepada semua kenderaan berikutan banjir di kawasan terbabit.

Artikel Berkaitan:

Laluan itu ialah Jalan Telok Arong dan Jalan Tanah Abang di Mersing serta Jalan Paya Balai Badang dan Jalan Putting di Segamat.