Sultan Selangor rasmi Hospital Pakar KPJ Selangor

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada gimik perasmian Hospital Pakar KPJ Selangor hari ini. - Foto Bernama
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada gimik perasmian Hospital Pakar KPJ Selangor hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan merasmikan Hospital Pakar KPJ Selangor (KPJ Selangor) di Seksyen 20 di sini, serta bangunan baharu pesakit luarnya yang beroperasi sejak Mac tahun lepas.

Turut berangkat ke majlis perasmian berkenaan adalah Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.

Hadir sama ialah Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Terdahulu dalam ucapan pada majlis perasmian itu, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad Datuk Amiruddin Abdul Satar menyatakan bangunan baharu yang menelan kos RM55 juta berkenaan dilihat mampu memberi keselesaan kepada pesakit serta pengunjung.

“Peningkatan kualiti perkhidmatan kesihatan tidak berhenti di sini sahaja. Bangunan asal yang disambung ke bangunan baharu menempatkan wad-wad dan unit-unit lain sedang dinaik taraf seiring dengan keperluan yang semakin meningkat,” katanya.

Bangunan baharu lapan tingkat yang mula dibina pada 2011 menampilkan reka bentuk moden dan menempatkan klinik-klinik konsultan pakar, unit rawatan harian pesakit luar, farmasi, ruang komersil serta pejabat pentadbiran.

Dalam pada itu, Amiruddin berkata sejak mengambil alih hospital berkenaan pada 2006 dan ditukar nama sebagai Hospital Pakar KPJ Selangor pada 2 April 2008, lebih enam juta pesakit termasuk dalam kalangan ekspatriat dari kawasan sekitar bandar raya Shah Alam menerima rawatan di situ.

Menurut beliau, sebagai institusi kesihatan yang memfokuskan kepada kepakaran ortopedik (berkaitan tulang), matlamat pihaknya adalah untuk menjana sekurang-kurangnya 10 peratus pendapatan keseluruhan hospital daripada sektor pelancongan kesihatan.

Artikel Berkaitan:

Tambah Amiruddin, KPJ Selangor kini mempunyai 58 konsultan residen dan bermusim yang pakar dalam pelbagai bidang perubatan antaranya kardiologi, ortopedik, neurologi, urologi, oftalmologi, pediatrik, perbidanan dan sakit puan serta pembedahan am dan dibantu 700 pekerja berpengalaman.

“Lokasi KPJ Selangor yang strategik kerana boleh diakses daripada Lapangan Terbang Kuala Lumpur serta jalan raya menghubungkan ibu kota Kuala Lumpur ,” katanya.

Bercakap kepada media selepas majlis berkenaan, Amiruddin menyatakan pihaknya turut mempunyai perancangan menaik taraf fasiliti dan menambah bangunan baharu di rangkaian KPJ lain di seluruh negara pada masa depan demi menawarkan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat. - Bernama.