X

Kindly register in order to view this article
!

Kemurungan penyakit mental yang serius

Wacana Sinar Siri Ke-145 yang mengetengahkan tajuk Kemurungan Remaja: Apa Puncanya di Dewan Karangkraf di sini hari ini.
A
A

SHAH ALAM - Kemurungan dalam kalangan remaja perlu ditangani segera kerana ia merupakan satu penyakit mental serius dan memberi kesan besar kepada masa depan mereka.

Ketua Jabatan Psikiatari Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Profesor Dr Marhani Midin berkata, kemurungan kini dikatakan pembunuh kedua remaja selepas kemalangan.

Menurutnya kemurungan juga berbahaya seperti kencing manis, asma dan darah tinggi.

"Mengikut kajian kira-kira setiap 40 saat seorang manusia di dunia membunuh diri. Gejala ini bukan sahaja memberi kesan kepada pelaku tetapi masyarakat sekeliling sama ada daripada kemerosotan pencapaian akademik dan kualiti kehidupan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Wacana Sinar Siri Ke-145 yang mengetengahkan tajuk Kemurungan Remaja: Apa Puncanya di Dewan Karangkraf di sini hari ini.

Program bual bicara itu juga menampilkan dua lagi panelis iaitu Ahli Jawatankuasa Pusat Kepelbagaian Pendidikan Fakulti Pendidikan UKM, Prof Dr Zuria Mahmud dan Pengetua Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Rahimah, Haznah Hamzah manakala Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Mission Malaysia, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin bertindak sebagai moderator.

Menurut Marhani, terdapat pelbagai tanda kemurungan yang boleh dikenal pasti termasuk mengalami perubahan emosi berpanjangan dalam tempoh dua minggu dan tidak menikmati kehidupan.

Selain itu, katanya, fikiran mereka sentiasa negatif dan berasa diri tidak berguna yang akhirnya memikirkan kematian.

"Secara tidak langsung ia boleh membawa kepada cubaan membunuh diri," katanya.

Katanya, kemurungan tidak mengira jantina, kaum atau kedudukan remaja itu kerana keadaan itu boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus