Jenayah kekerasan di Sarawak meningkat

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUCHING - Jenayah kekerasan di Sarawak menunjukkan peningkatan daripada 767 kes pada 2018 kepada 836 kes setakat 10 Disember tahun ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Ramli Din berkata, terdapat peningkatan 69 kes iaitu sebanyak sembilan peratus.

“Kes bunuh juga meningkat daripada 17 kes pada 2018 kepada 24 kes pada tahun ini namun daripada 24 kes itu, 21 daripadanya berjaya diselesaikan.

“Begitu juga dengan kes rogol yang turut berlaku peningkatan daripada 127 kes pada tahun lepas kepada 143 kes pada tahun ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Bersama Pelanggan dan Pelancaran Op Selamat sempena Hari Krismas di Dewan Komuniti Siburan di sini hari ini.

Mengulas mengenai majlis itu Ramli berkata, ia bertujuan mendekatkan pasukannya dengan masyarakat setempat dalam usaha menyebar luas maklumat berkaitan polis dan Op yang dilancarkan.

“Bermula Januari 2020 pada minggu kedua setiap bulan, setiap Ibu Pejabat Polis Daerah di Sarawak akan menganjurkan hari bersama pelanggan untuk masyarakat tampil meluahkan masalah yang dihadapi mereka,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: