X

Kindly register in order to view this article
!

PENYAKIT kencing manis boleh menyebabkan kebutaan.
A
A

Malangnya sejumlah besar pesakit tidak sedar diserang kencing manis

JUMLAH pesakit diabetes kini meningkat di seluruh dunia terutamanya di negara-negara membangun di benua Asia. Prevalens di Malaysia, tidak kurang 'hebatnya'.

Institut Diabetes Negara (NADI) menganggarkan sejumlah 4.5 juta penduduk menghidap diabetes dengan separuh daripadanya berkemungkinan tidak mengetahui yang mereka sebenarnya mempunyai penyakit itu.

Menurut NADI, 'pencapaian' tersebut menjadikan Malaysia memegang rekod tidak patut dibanggakan sebagai sebuah negara yang mana mempunyai kadar diabetes paling tinggi di Asia Tenggara.

Apa tidaknya, diabetes pembunuh dalam senyap yang akan merosakkan organ-organ badan tanpa sebarang simptom yang jelas kepada pesakit.

Sedarilah bahawa implikasi buruk boleh dihidapi penghidapnya. Selain komplikasi seperti kegagalan buah pinggang, amputasi, strok dan serangan jantung, masalah kebutaan juga boleh berlaku!

Apakah di sebalik penyakit boleh mengundang mimpi ngeri itu? Di sebalik fakta, adakah kita benar-benar faham dan mempunyai kesedaran mengenai penyakit tersebut?

Sihat:Aktif memperincikannya bersama pakar berkaitan dalam Medik minggu ini.

DARI hari ke hari, penglihatan mata Nafsiah Abdullah semakin kabur. Kesulitan dihadapi oleh wanita berusia 58 tahun itu hingga menjejaskan urusan hariannya.

Sangka bekas guru itu, penglihatan matanya yang makin terhad dek faktor usia. Malangnya ia bukan penyebab utama, sebaliknya apa dihadapinya berpunca akibat diabetes.

"Saya tahu ada penyakit kencing manis. Memang doktor telah menasihati saya supaya merujuk kepada doktor mata.

"Tetapi disebabkan masalah tidak dapat hadir semasa temu janji dibuat, saya menangguhkan perjumpaan dengan pakar hingga terus terlupa," ceritanya.

Nafsiah mengakui kecewa apabila doktor mengesahkan masalah 'rabun' teruk dihadapinya itu disebabkan diabetes, malah jika dibiarkan tidak mustahil menyebabkan kebutaan!

Menakutkan bukan kesan kencing manis atau diabetes melitus kepada penglihatan?

Penyakit kronik yang berkaitan dengan kandungan gula (glukosa) yang tinggi dalam darah itu kini menjadi masalah atau penyakit global dalam masyarakat.

Secara rambang, jumlah pesakit manis sememangnya membimbangkan. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan pada tahun 2030, seramai 2.48 juta rakyat Malaysia mempunyai masalah diabetes melitus.

Ironinya, seramai 48 peratus pesakit itu yang berumur lebih 40 tahun dikatakan tidak menyedari bahawa mereka sedang 'dibunuh' secara halus dengan penyakit tersebut.

Merujuk kes Nafsiah tadi, biarpun beliau sendiri sejak awal tahu dirinya menghidap diabetes, namun bersikap sambil lewa untuk merujuk doktor mata. Bayangkanlah apa nasib golongan yang langsung tidak menyedarinya.

Masyarakat kita barangkali sudah lali mendengar natijah angkara diabetes. 'Perlu mengambil insulin', 'cuci buah pinggang' atau dialisis, makan ubat, 'potong kaki' dan seumpamanya sudah dianggap 'perkara biasa'.

Namun satu lagi perkara yang sering dilupakan adalah kesan 'serangan' diabetes yang mampu menjejaskan pancaindera mata? Ya, dunia boleh menjadi gelap selamanya.

Mengulas lanjut mengenai fakta itu, pakar perunding kesihatan mata, Datuk Prof Dr Muhaya Mohamad melontarkan pandangannya.

DR Muhaya
DR Muhaya

Sering diabaikan

Sudah lumrah, pada peringkat awal terkena penyakit diabetes, kebanyakan pesakit ditemuinya akan berasakan tidak memerlukan pemeriksaan mata.

Pun begitu, ketahuilah bahawa perkara dirasakan tidak perlu pada peringkat awal penyakit itu boleh mengundang impak berpanjangan, kata Dr Muhaya.

"Alasan 'saya masih nampak' itu salah. Sepatutnya sebaik seseorang itu disahkan ada kencing manis, lakukanlah pemeriksaan mata. Doktor mata akan buat pemeriksaan keseluruhan.

"Namun jika lambat bertindak dikhuatiri terlewat kerana punca utama kebutaan disebabkan penyakit adalah diabetes. Jika tidak mengawal kencing manis, kemungkinan untuk buta ialah 25 kali ganda!," katanya ketika ditemui di Pusat Mata & Lasik Prof Muhaya di Kajang, Selangor.

Pesakit diabetes lazimnya berasa kebas kaki dan tangan akibat dipengaruhi oleh semua salur darah kecil. Sudah pasti tidak dapat lari daripada meninggalkan efek pada mata, jelas Dr Muhaya lagi.

Maka, penting buat pesakit diabetes untuk memastikan doktor yang merawat dirinya turut merujuk kepada pakar mata untuk melakukan pemeriksaan penglihatan.

Menarik perkongsian Dr Muhaya tentang pesakit diabetes yang sudah sampai ke peringkat memerlukan 'potong kaki' atau dialisis, bermakna 'sudah sah' mata mereka sudah ke peringkat kerosakan awal.

Ironinya, ramai yang menjejak ke peringkat itu masih tidak berjumpa doktor mata, sedangkan diabetes boleh memberi kesan buta dengan dua cara.

Pertama, apabila gula terlalu tinggi, salur darah akan bocor hingga lemak berkumpul menyebabkan kesan pada retina hingga mata tidak boleh melihat.

Kedua, boleh berlaku pendarahan tiba-tiba yang mana mata terus melihat gelap. Keadaan lebih sukar apabila sampai ke peringkat berdarah.

"Apabila berdarah, kos pembedahannya boleh menelan belanja lebih tinggi antara RM10,000 hingga RM15,000. Kalau perlu suntikan pula, sekali cucuk ada mencecah beribu, jadi banyak duit habis kalau sudah terlewat. Rugi tak jika kita tidak cegah (diabetes)?

"Lebih teruk jika diabetes tidak dicegah, pada ketika pesakit makan apa sahaja, ia boleh menyebabkan pendarahan tiba-tiba dalam mata. Tiada petanda awal itu akan berlaku," kata pakar motivasi terkenal itu.

Rentetan itu, Dr Muhaya menasihati supaya baik diabetes atau penyakit apapun, supaya mencegah daripada merawat.

Ganggu organ Sementara itu, Pakar Perunding Oftalmologi, Hospital Pakar AnNur Bangi, Selangor, Dr Norlaili Mustafa, tidak menafikan kencing manis adalah penyakit sistemik yang boleh memberi kesan kepada pelbagai organ di dalam tubuh.

DR Norlaili
DR Norlaili

Mata adalah salah satu organ yang boleh menyebabkan pesakit mengalami komplikasi akibat diabetes.

Struktur mata terdiri daripada bola mata, otot-otot ekstraokular, tisu-tisu sekitar bola mata seperti lemak dan tisu perantara, kelopak mata, kelenjar-kelenjar kecil dan segala saraf serta salur darah adalah berkaitan mata. Kesemua struktur itu boleh mendapat kesan daripada penyakit kencing manis.

Bagaimana kencing manis boleh mengganggu organ dan struktur mata?

Pertama, jelas Dr Norlaili, seseorang yang menghidap kencing manis tetapi tidak mengawal penyakit itu dengan baik akan sentiasa terdedah kepada jangkitan kuman disebabkan imuniti yang rendah.

"Jangkitan kuman pada mata dan strukturnya seperti ketumbit pada kelopak mata atau abses pada kelopak mata, akhirnya boleh merebak ke seluruh tisu sekeliling mata, melarat hingga ke otak seterusnya membahayakan nyawa.

"Infeksi boleh melarat hingga ke dalam bola mata menyebabkan kerosakan saraf atau lebih teruk lagi buta," katanya lagi, senada Dr Muhaya.

Tambah Dr Norlaili lagi, diabetes yang tidak dikawal dengan baik boleh menyebabkan kanta mata berselaput lebih awal dari masanya. Akibatnya, pesakit terpaksa menjalani rawatan pembedahan katarak lebih awal.

Pesakit itu juga lebih berisiko mendapat masalah saraf iaitu glaukoma yang boleh membawa kepada kebutaan.

Jangan gosok mata

Mengupas lanjut berhubung masalah mata yang sering berkait dengan diabetes, kesan banyak berlaku adalah pada struktur retina iaitu 'diabetik retinopati'. Ulas Dr Norlaili, justeru pemantauan awal amat penting.

Di peringkat awal, pemantauan berkala adalah penting sebelum mencapai tahap serius yang memerlukan rawatan laser atau pembedahan.

"Dalam menangani komplikasi penyakit diabetes di mata, faktor penting adalah bagaimana seseorang individu itu mengawal penyakit diabetes dihidapinya sendiri. Maka rawatan bersama pakar mata dan pakar endokrin memainkan peranan utama.

"Pesakit dinasihatkan tidak mengambil ringan temu janji bersama pakar mata dan pakar endokrin untuk mendapatkan khidmat nasihat dan rundingan," katanya.

PENGAMBILAN ubat-ubatan dan insulin seperti dinasihati oleh doktor perlu diikuti.
PENGAMBILAN ubat-ubatan dan insulin seperti dinasihati oleh doktor perlu diikuti.

Disebabkan pesakit diabetes cenderung mendapat jangkitan kuman, penjagaan kebersihan mata sangat penting bagi mengelakkan jangkitan kuman berlaku.

Amalan selalu menggosok-gosok mata juga perlu dikurangkan atau diberhentikan sama sekali. Struktur kornea pada bola mata boleh luka dan mengundang jangkitan kuman.

"Seperti kecederaan pada anggota lain, jika pesakit diabetes mendapat mata merah, segeralah berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan sesuai.

"Harus diingat tidak semua penyakit mata merah itu kerana konjunktivitis. Terdapat pelbagai lagi masalah mata yang manifestasinya adalah mata merah," pesan Dr Norlaili.

Peka komplikasi lain akibat diabetes

JANGAN mengambil mudah kesan komplikasi penyakit diabetes kerana risikonya sangat tinggi. Sentiasa peka dengan keadaan kesihatan semasa dengan melakukan pemeriksaan secara berkala.

Itu nasihat Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Kodiang, Kedah, Dr Mohamad Suaidi Mohamad Sazali atau Dr Mohamad Suaidi ketika berkongsi implikasi boleh diundang akibat diabetes.

DR Mohamad Suaidi
DR Mohamad Suaidi

Menurutnya, terdapat dua pecahan utama terhadap komplikasi kencing manis iaitu kesan kepada pembuluh darah kecil dan pembuluh darah besar.

“Komplikasi kesan kencing manis kepada pembuluh darah kecil melibatkan mata, ginjal dan saraf periferi," katanya sambil menyifatkan bahagian mata akan melibatkan saluran darah di dalam mata yang boleh 'bocor'.

Menurutnya, hal itu akan menyebabkan berlakunya radangan dan dalam keadaan teruk, pendarahan di dalam mata yang boleh menyebabkan kebutaan.

Tambahnya lagi, ginjal pula boleh terganggu akibat kencing manis yang tidak terkawal. Akhirnya masalah itu akan menyebabkan kegagalan fungsi ginjal.

“Akibat kandungan gula yang tinggi juga menyebabkan kerosakan kepada saraf periferi yang memberi simptom seperti kebas dan berasa sakit kepada jari-jari.

"Keadaan kulit yang kebas menyebabkan luka berlaku di kaki tidak disedari dan boleh menyebabkan kereputan anggota badan seperti jari kaki," katanya.

Seperkara, penyakit diabetes dikatakan boleh mengakibatkan komplikasi kepada pembuluh darah besar. Kesannya melibatkan bahagian otak, jantung dan boleh menyebabkan penyakit salur darah periferi.

Otak yang merupakan bahagian dominan di dalam tubuh badan berisiko untuk terjadinya angin ahmar atau 'stroke' kerana pembuluh darah menjadi keras kesan keadaan diabetes yang tidak terkawal. Akibatnya pesakit kencing manis juga sangat berisiko berhadapan dengan serangan jantung.

Tambahnya lagi, salur darah yang keras akan tersumbat pada hujung anggota badan seperti tangan dan kaki. Sebelum tersumbat secara sepenuhnya, pesakit mempunyai simptom seperti sakit kaki apabila berjalan jauh dan kulit berubah menjadi nipis, pada akhirnya menyebabkan kematian anggota kaki atau tangan.

ANEKDOT

Komplikasi akibat diabetis melitus:

Diabetik retinopati

Kegagalan buah pinggang

Penyakit jantung

Diabetik neuropati

Diabetic foot disease

Apa itu diabetik retinopati?

Diabetik retinopati ialah kerosakan pada retina yang disebabkan oleh komplikasi diabetes. Paras gula yang tinggi dalam darah menyebabkan salur darah tersumbat dan terhasil salur darah baru yang rapuh dan mudah pecah. Ini mengakibatkan penglihatan mata merosot seterusnya boleh menyebabkan kebutaan.

Tanda dan gejala:

1) Tiada tanda dan gejala di peringkat awal.

2) Melihat apungan (floaters) atau bintik hitam di dalam mata.

3) Penglihatan kabur dan terhalang (black spot) di kawasan tengah penglihatan.

4) Sukar melihat di waktu malam.

5) Diplopia (melihat imej berganda).

6) Mata merah.

7) Peningkatan tekanan mata.

Faktor risiko diabetik retinopati:

Menghidap diabetes mellitus lebih lama.

Paras gula dalam darah tidak dikawal.

Obesiti

Merokok

Lain-lain masalah kesihatan – darah tinggi dan kolesterol yang tidak terkawal.

Pesakit diabetes yang sedang hamil.

Jenis diabetik retinopati:

Retinopati tanpa proliferasi – Biasanya tidak mengganggu penglihatan. Berlaku sedikit pendarahan.

Pembengkakan makular – Terjadi akibat cairan retina yang bocor. Boleh merosakkan penglihatan tengah.

Retinopati proliferasi – Berlaku apabila salur darah baharu yang tidak normal dan rapuh terbentuk. Salur darah itu mudah pecah dan mengakibatkan pendarahan dalam mata yang menyebabkan buta secara tiba-tiba.

Bagaimana jika mempunyai faktor risiko?

Pesakit digalakkan untuk menjalani saringan mata dan pemeriksaan mata menyeluruh secara berkala atau setahun sekali.

Sumber: myhealth.gov.my


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!