Polis Pahang beku cuti anggota sehingga Mac tahun depan

Seramai 75 orang menerima surat penghargaan daripada Abd Jalil (dua dari kanan) sempena Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Pahang di Alor Akar hari ini.
Seramai 75 orang menerima surat penghargaan daripada Abd Jalil (dua dari kanan) sempena Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Pahang di Alor Akar hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pahang membekukan cuti 8,080 anggotanya sehingga Mac 2020 bagi menghadapi bencana banjir.

Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan berkata, bagi tempoh tersebut, hanya kakitangan yang mempunyai kecemasan diberi pelepasan.

Menurutnya, seperti diramalkan Jabatan Meteorologi, musim tengkujuh yang disebabkan Monsun Timur Laut telah bermula sejak 24 Oktober lalu dan akan berlarutan hingga Mac 2020.

"Selain terlibat secara langsung di pusat pemindahan sementara (PPS), pihak polis juga bertanggungjawab menjaga harta benda yang ditinggalkan mangsa banjir.

"Untuk itu cuti semua kakitangan dibekukan membabitkan lebih kurang 8,080 orang. Kita telah mengerahkan seluruh anggota di 11 daerah untuk memantau kawasan masing-masing," katanya pada sidang media Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Pahang di Alor Akar di sini hari ini.

Abd Jalil berkata, bagi tiga lokasi yang mengalami banjir pada masa ini iaitu Rompin, Temerloh dan Bera, rondaan serta kawalan ditingkatkan terutama di kawasan yang ditinggalkan penghuni rumah yang berpindah ke PPS.

"Sejumlah 1,881 anggota polis terlibat di tiga lokasi banjir ini dan sehingga kini tiada laporan berhubung kehilangan harta banda dibuat penduduk," katanya.

Menurutnya, jumlah keseluruhan mangsa banjir setakat ini ialah seramai 1,028 orang membabitkan 263 keluarga dipindahkan ke sembilan PPS.

Artikel Berkaitan:

Di Rompin, kawasan terjejas ialah Kampung Paya Setajam, Kampung Kurnia, Kampung Pianggu, Kampung Kasing, Kampung Sarang Tiong, Kampung Bukit Lepas, Kampung Rekoh, Kampung Denai dan Kampung Bukit Serok.

Bagi daerah Temerloh kawasan terjejas ialah Kampung Paya Luas, manakala Bera pula di Kampung Pasal.

Abd Jalil berkata, sebanyak 17 agensi lain turut bekerjasama menangani situasi banjir di negeri itu antaranya Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APMM), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan lain-lain.