Elizabeth Tan pilih Alif

Elizabeth Tan
A
A

BARU sahaja melancarkan single Police Entry pada Julai lalu dan kejayaan video muzik Police Entry menjana lebih 9 juta tontonan di YouTube, kini momentum karier nyanyian Elizabeth Tan dihangatkan lagi dengan single terbaharunya Semua Sudah.

Semua Sudah merupakan single kedua penyanyi yang mesra di sapa Lizzy ini sejak bernaung di bawah pengurusan syarikat rakaman Warner Music Malaysia.

Semua Sudah merupakan karya ciptaan komposer, penerbit dan rapper terkenal Alif manakala lirik pula merupakan tulisan bersama Alif dan Lizzy sendiri.

Ini merupakan pertama kali Lizzy bekerjasama dengan Alif yang sebelum ini menghasilkan banyak lagu hits untuk penyanyi terkenal tanah air seperti Kaka Azraff, Zizan Razak, De Fam, Joe Flizzow, Adira dan ramai lagi.

Alif yang dikenali ramai menerusi gaya tersendiri dalam rentak ciptaannya, menggubah Semua Sudah dengan menyuntik elemen kontemporari dan rentak hip hop yang catchy.

Ditambah lagi dengan melodi yang mesra telinga dan bait-bait lirik yang menggunakan bahasa yang mudah diingati, lagu ini dijangka bakal mencuri dan mengikat perhatian pendengar.

Pemilik nama sebenar Elizabeth Tan Su Mei yang sedang rancak mengukir namanya dalam bidang lakonan ini turut menyifatkan bahawa single ini merupakan karyanya yang paling digemari.

Single Semua Sudah terbitan Warner Music Malaysia ini boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music.